PETALING JAYA – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi jawapan pedas terhadap komen dimuat naik individu yang sinonim dengan penganjuran konsert, Iman Tang berhubung dakwaan menyindir Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung hujung minggu lalu.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, membalas pernyataan netizen dalam akaun Threads yang bertanya sama ada beliau pernah menolak permintaan Iman untuk menjadi penganjur konsert melibatkan dirinya.
“Apa salah saya padanya?,” demikian balas pelantun lagu Cindai itu pada satu status dimuat naik seorang netizen di Threads.
Menerusi perkongsian sama, penyanyi nombor satu tanah air itu mendedahkan tidak pernah menerima apa-apa tawaran daripada individu terbabit (Iman Tang) sebelum ini.
“Saya rasa tak pernah ada tawaran. Kenapa ya dia buat begitu? Apakah salah saya pada dia? apakah yang telah saya lakukan.
“Oh apakah kita kan teruskan, di dalam arus percintaan, perlukah kita…. Haaaa sambung,” tulisnya berseloroh seraya memetik bait lirik lagu popular, Jerat Percintaan.
Siti menulis kenyataan terbabit sebagai komen balas seorang peminat berbunyi: “Salam kenapa penganjur konsert seorang ni macam banyak kali tak puas hati dengan Siti?
“Siti pernah ‘reject’ dia ke? Kesian sangat tengok dia. Nasib la saya tak pernah pergi konsert yang dia buat. Harap teruskan ‘reject’ dia biar dia terus tersakiti.”
Terdahulu, Iman memuat naik status dalam Instagram Story yang dikatakan menyindir penganjuran konsert Siti selain dikatakan menyifatkan persembahan terbabit sebagai membosankan.
“Nothing new, still the same and repeat concept. Boring. (Tiada pembaharuan masih sama dan ulang konsep, bosan)” tulisnya.
Biarpun tidak menulis nama mana-mana individu, namun netizen terutamanya peminat Siti percaya hantaran itu ada kena-mengena dengan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.
Disebabkan itu, Iman dikecam netizen sehingga ada yang bertindak mahu memboikot konsert anjurannya selepas ini.
Iman sebelum ini pernah menganjurkan konsert besar antaranya KRU, Datuk M Nasir, Kumpulan Dewa dan Melly Goeslaw.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini dihadiri lebih 65,000 peminat. – KOSMO! ONLINE














