SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dia pandu terbabas lalu melanggar tembok Plaza Tol Sungai Dua, Lebuh Raya Utara Selatan di Kepala Batas di sini, malam tadi.
Mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu dilaporkan maut di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian pemandu kereta jenis Perodua Aruz.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 10.30 malam itu, seorang lagi penumpang hadapan yang juga warganegara sama yang dikenali sebagai Azhar Iqbal, 42, turut dilaporkan mengalami kecederaan parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berlaku pada pukul 10.43 malam dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas yang diketuai Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Mohamad Rodzi Mat Saad.
“Insiden terbabit melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang terbabas lalu merempuh tembok plaza tol.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi menyelamat tamat pada pukul 12.07 malam tadi,” katanya. -KOSMO! ONLINE














