KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) telah menerima surat makluman daripada peguam bekas Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengenai hasrat beliau untuk bersara awal daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan pemakluman itu, ia membolehkan Mindef melakukan proses bagi mencari pengganti bagi jawatan Panglima Angkatan Tentera.
Ini kerana katanya, sebelum ini Majlis Angkatan Tentera (MAT) sebelum ini telah memutuskan Hafizuddeain sebagai calon Panglima Angkatan Tentera.
Bagaimanapun katanya, pelantikan yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari itu terpaksa ditangguhkan susulan kes yang sedang dihadapinya.
“Dengan persaraan awal tersebut, jawatan Panglima Angkatan Tentera kini kosong dan buat sementara waktu dipangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.
“Proses pencarian calon Panglima Angkatan Tentera baharu akan dilaksanakan melalui MAT sebelum dikemukakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.
“Proses ini mengambil masa kerana ia melibatkan prosedur rasmi. Sekiranya cadangan tidak diperkenankan, MAT akan mengemukakan pencalonan baharu sehingga mendapat perkenan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan, di Wisma Perwira.
Pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera sebelum diputuskan Mesyuarat MAT ke-631 yang berlangsung pada 19 November lalu dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember.
Turut diputuskan melalui mesyuarat sama ialah pelantikan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman, sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Bagaimanapun pelaksanaan keputusan Mesyuarat MAT ke-631 mengenai pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan.
Beliau diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan melibatkan beliau.-KOSMO! ONLINE














