PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan Kurikulum Persekolahan baharu bermula tahun hadapan dengan menjadikan Kurikulum Prasekolah 2026 sebagai langkah pertama ke arah pembaharuan sistem pendidikan di negara ini.
Dalam konteks ini, pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 merupakan antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan KPM tahun ini bagi mengukuhkan agenda pendidikan negara, sekali gus memastikan potensi akademik pelajar terus diperkasa.
Berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelbagai inisiatif yang dirancang sebelum ini kini memasuki fasa pelaksanaan dengan tahun 2026 menjadi tempoh penting bagi memastikan ia sampai ke kumpulan sasar.
“Hakikatnya, kita kini berada di persimpangan penting dalam perjalanan pendidikan negara. Di hadapan kita, tersedia Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 (PPPM) yang akan memandu strategi dan keputusan untuk sedekad akan datang.
“Pada masa yang sama, kita sedang melangkah ke Kurikulum Persekolahan baharu pada tahun hadapan, yang mana langkah pertamanya akan bermula melalui pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026.
“Inilah tahun di mana benih-benih perancangan hampir sedekad lalu mula kita semaikan sepenuhnya,” katanya baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Audit Keselamatan Murid dan Asrama yang dilaksanakan tahun lalu turut memberi terjemahan bahawa keselamatan murid memerlukan pendekatan secara menyeluruh.
“Berdasarkan dapatan itu, KPM mewujudkan Polisi Perlindungan Murid yang menjadi antara fokus utama dalam gerakan reformasi segera bagi menekankan pencegahan, intervensi awal dan akauntabiliti bersama.
“Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat pula membentuk kerangka kerja komprehensif, di mana pihak terlibat seperti polis dan Kementerian Kesihatan perlu terus berganding bahu.
“Teras panduan itu ialah Jawatankuasa 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) dengan pengurusan risiko menjadi antara komponen kritikal,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM turut mengenal pasti beberapa inisiatif segera yang perlu diberi tumpuan utama dalam melayari pelaksanaan PPPM 2026-2035.
“Dalam konteks infrastruktur, sebanyak 17 sekolah baharu akan beroperasi tahun ini, iaitu dua sekolah rendah dan 15 sekolah menengah.
“Langkah itu menangani isu sekolah padat yang diwarisi dari tahun-tahun sebelumnya selain memberi ruang belajar yang lebih selesa kepada murid,” katanya.

Selain itu, sebanyak 50 sekolah daif akan dinaik taraf pada tahun ini yang mana proses baik pulih membolehkan murid di sekolah terlibat dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.
Fadhlina berkata, sebanyak 1,801 sekolah juga bakal dilengkapi dengan peralatan makmal komputer selain 333 sekolah asrama harian akan dilengkapi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan keselamatan murid di asrama.
“Pada masa sama, sebanyak 200 kelas Pendidikan Khas baharu dibuka, seterusnya memberi peluang lebih ramai murid berkeperluan khas untuk belajar dalam persekitaran yang sesuai dan menyokong perkembangan mereka secara optimum.
“Program Sekolah Model Khas Komprehensif K11 juga akan diperluaskan yang mana tujuh buah sekolah dilibatkan iaitu tiga pada 2026 dan empat pada 2027.
“Ini khusus untuk anak-anak di pedalaman, memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti tanpa perlu mengorbankan jarak dan akses,” katanya.
Lebih menarik, Sekolah Sukan Malaysia Pendidikan Khas (SSMPK) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan juga akan mula beroperasi tahun ini.
Seterusnya, bagi menghargai dan memberikan sokongan kepada guru dan pentadbir, Fadhlina berkata, sebanyak 1,470 pembantu guru (MyPG) akan ditempatkan pada 2026 dan 2027 dengan 564 orang ditempatkan pada 20 Januari 2026.
“Pada masa sama, sebanyak 600 MyStep Pembantu Warden Asrama (MyPWA) akan dilantik mulai Mac depan sekali gus meningkatkan pengurusan asrama dan kesejahteraan murid.
“Semua guru prasekolah juga akan dilatih secara dalam talian untuk memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris, sekali gus memastikan generasi awal mempunyai asas bahasa yang mantap,” katanya.
Bagi aspek teknologi dan inovasi pembelajaran pula, 800 buah sekolah akan melaksanakan Program Bilik Darjah Dikuasakan oleh Kecerdasan Buatan (AI) melibatkan 260 buah sekolah pada 2026 dan 540 pada 2027.
“Bagi memberikan peluang kepimpinan dan pengalaman global kepada anak-anak kita, seramai 500 murid B40 akan diberi peluang mengikuti Kem Kepimpinan Bahasa Inggeris di luar negara.
“Selain itu, 200 kanak-kanak Penan di Belaga, Sarawak pula akan menyertai Program Khas Pendidikan Manusiawi bagi memastikan pendidikan sampai ke pedalaman dengan cara yang inklusif dan bermakna,” jelas Fadlina.
Dalam hal ini, beliau berkata, inisiatif segera itu menjadi jawapan kepada cabaran nyata dalam menyelesaikan pelbagai isu melibatkan warga KPM.
“Ia menunjukkan bahawa PPPM bukan hanya rancangan jangka panjang, tetapi langkah-langkah praktikal yang memberi impak segera,” katanya.














