PETALING JAYA – Sedar kecaman ramai terhadap bentuk fizikalnya, pelakon Diana Danielle mengakui berat badannya bertambah tetapi bukan disebabkan patah hati sebaliknya gaya hidup yang kurang sihat.
Seperti selebriti lain, Diana, 36, juga tidak terlepas menerima pelbagai gelaran dan tohmahan hanya disebabkan badannya semakin berisi berbanding sebelum ini.
“Sepanjang dua tahun ini berat badan saya bertambah, macam-macam label orang bagi.
“Ada yang kata saya mengandung, sudah kurang relevan, tekanan perasaan dan macam- macam cerita. Ada juga yang suka, sebab katanya tak pernah lihat saya semakin ‘chubby’.
“Kalau betul makan hati dan terganggu dengan apa orang cakap, sejujurnya sudah lama dah saya kurus,” katanya dalam media sosial.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, ada juga pihak mencadangkan pelbagai alternatif untuk menurunkan berat badan termasuk suntikan ubat dan pembedahan potong usus.
“Cara ada dan pilihan pun banyak. Ramai cadangkan pengambilan Ozempic, ada doktor siap tawarkan pembedahan bariatrik tetapi saya tolak sebab sebagai seorang diva berdaftar, jalan singkat bukan pilihan saya.
“Sebab saya sedar ini adalah isu gaya hidup dan saya suka makan dan memang tidak gemar bersenam.
“Jadi kalau saya tak ubah cara ini, sama juga. Berat badan naik pun bukan misteri,” ujarnya.
Selain gaya hidup, Diana mengaku faktor lain bmeningkatkan berat badannya adalah disebabkan pembantu rumah memasak makanan yang sedap sehingga membuat selera makannya bertambah.
“Beberapa tahun lalu saya ambil pembantu rumah yang masak terllalu sedap, padah pula makan sedap setiap hari.
“Sekarang ini satu sebab saya akur ialah sebab ada filem baharu nak keluar yang memerlukan saya turunkan berat badan. Nama pun tanggungjawab, lagipun badan berat-berat ini sakit lutut.
“Apa pun, badan kalian, pilihan sendiri. Jangan pula ada yang sentap dengan kenyataan saya. Entah kenapa rasa nak tulis panjang-panjang. Cuma nak beritahu saja, netizen ini memang puaka,” tuturnya.
Sebelum ini, Diana dalam satu temu bual menegaskan tidak pernah terasa hati dengan teguran yang mempersoal mengenai berat badannya.
Dia bahkan menegaskan selesa dengan fizikalnya dan badan semakin berisi disebabkan selera makan bertambah. – KOSMO! ONLINE














