fbpx
Gambar hiasan.

Kadar pengangguran negara menurun, paras terendah sejak 2014

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kadar pengangguran negara bagi bulan November 2025 mencatatkan penurunan kepada 2.9 peratus, iaitu paras terendah sejak Disember 2014 dengan jumlah penganggur seramai 518,400 orang.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran yang berada di bawah tiga peratus kali terakhir dicatatkan pada November 2014.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi yang menggalakkan pada bulan tersebut dilihat terus menyokong pertumbuhan yang stabil dalam pasaran buruh.

“Tenaga buruh bertambah sebanyak 0.2 peratus mencecah 17.61 juta orang pada November 2025 berbanding Oktober 2025 seramai 17.58 juta orang.

“Kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan tersebut tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus seperti bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Data tersebut turut menunjukkan bilangan penduduk bekerja juga meningkat 0.2 peratus kepada 17.09 juta orang berbanding 17.06 juta pada bulan sebelumnya, manakala jumlah penganggur menurun sedikit 0.1 peratus kepada 518,400 orang.

Kadar pengangguran November turun 0.1 mata peratus daripada 3.0 peratus pada Oktober, menandakan paras terendah dalam tempoh 11 tahun.

Daripada jumlah penduduk bekerja, 74.8 peratus adalah pekerja, merekodkan pertambahan 0.1 peratus kepada 12.78 juta orang, manakala bilangan pekerja sendiri meningkat 0.3 peratus kepada 3.26 juta orang.

Menurut Mohd Uzir, sektor perkhidmatan terus menunjukkan pertumbuhan stabil, terutamanya dalam aktiviti kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial, perdagangan borong dan runcit serta aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman.

“Sektor pertanian, pembuatan, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian turut mencatat peningkatan guna tenaga.

“Bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu meningkat 1.6 peratus kepada 237,000 orang, manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan masa naik 2.7 peratus kepada 129,900 orang, menjadikan kadar guna tenaga tidak penuh 0.8 peratus berbanding 0.7 peratus pada Oktober 2025,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI