fbpx
Terus memeriahkan industri terutama arena indie, Pesawat kini hadir dengan album studio terbaharu berjudul Flight Mode.

Flight Mode Pesawat sudah aktif, sedia terbang tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGIT muzik tempatan kembali meriah apabila sebuah kumpulan indie rock memilih untuk tidak hanya berlegar, sebaliknya menekan butang berani menuju altitud baharu.

Dalam dunia bunyi dan emosi, setiap penerbangan memerlukan keberanian dan Pesawat kini bersedia berlepas dengan misi lebih besar, matang dan jujur.

Selepas dua dekad meniti perjalanan seni, kumpulan ini tampil mengumumkan pelancaran album studio terbaharu berjudul Flight Mode, sekali gus menandakan fasa evolusi paling signifikan dalam karier mereka.

Album tersebut menjadi simbol kematangan bunyi, keberanian bereksperimen serta kejujuran emosi, disokong penuh oleh Kementerian Komunikasi Malaysia dan MyCreative Ventures menerusi Dana Kebolehanpasaran Domestik 2.0 sebagai pemangkin utama penerbitan naskhah terbabit.

Pesawat kini dianggotai Jipie selaku vokalis, gitaris, pemain piano serta synthesizer, disokong Mie (gitar, vokal latar), Mann (bes) dan Jun (dram), sebuah barisan mantap yang menjadi nadi perjuangan.

Diterbitkan Jipie bersama anggota lain, Flight Mode hadir sebagai album dwibahasa Bahasa Melayu dan Inggeris dengan 14 buah lagu sekali gus mengangkat konsep sebuah ‘penerbangan’ lengkap.

Single pertama berbahasa Inggeris, Levitation, diikuti Burung Besi sebagai single kedua, memperlihatkan identiti Pesawat kekal melankolik serta atmosferik, namun disulami pendekatan produksi lebih luas dan kemas.

Kolaborasi

Menurut Jipie, album tersebut akhirnya berjaya disempurnakan selepas melalui tempoh panjang pembinaan material serta proses rakaman pantas meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan.

“Flight Mode adalah hadiah buat penantian panjang peminat setia PSWT, atau Passengers, selain menjadi perayaan ulang tahun ke-20 Pesawat. Banyak hal perlu kami tempuhi sebelum album ini benar-benar bersedia untuk dilepaskan.

“Apapun tanpa sokongan kerajaan melalui dana, perjalanan album ini mungkin tidak sampai ke destinasi. Kami sangat bersyukur kerana kini Flight Mode boleh diperdengarkan kepada semua,” katanya kepada HibGlam.

Album tersebut turut diperkaya dengan kolaborasi istimewa bersama Emmett daripada Butterfingers menerusi Levitation, Black Hanifah dalam Burung Besi, Joanna Renisa (Joanna & Co.) menerusi Gravity serta Mann XIII dari Electric Funeral (G-Force).

Tidak ketinggalan sumbangan pemuzik Pa’ang (perkusi), Killah Z (scratcher) dan Anderson Kalang yang memperdengarkan alunan sapé pada lagu terpilih, menjadikan keseluruhan karya lebih bertekstur dan berjiwa Nusantara.

Siti Nurhaliza

Dalam pada itu, Pesawat turut membuka ruang kepada kolaborasi masa depan, termasuk impian besar bekerjasama dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Saya memang meminati Siti dan hasrat itu sudah lama tersimpan. Beliau kekal relevan merentasi generasi dan itu sesuatu yang sangat kami hormati,” jelasnya.

Tidak terhenti di situ, kumpulan tersebut turut menyatakan minat terhadap pengaruh muzik K-pop serta potensi gabungan rentak moden bersama elemen rock tempatan.

“Kami meminati muzik K-pop dan melihat elemen ‘catchy’ serta pantas dalam muzik kumpulan seperti Dolla. Pesawat juga memiliki elemen serupa. Jika bergandingan, kami boleh menggabungkan rock dan K-pop.

“Kami terbuka bekerjasama dengan pelbagai jenis penyanyi, tetapi kolaborasi itu mesti memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, bukan sekadar menyanyi di bahagian korus,” jelasnya.

Single Flight Mode akan dilancarkan pada awal dan pertengahan bulan ini, manakala album penuh dijadualkan menemui para pendengar pada 30 Januari 2026.

Bagi meraikan pelancaran tersebut, Pesawat akan memulakan Jelajah Showcase Flight Mode bermula di Johor Bahru pada 31 Januari diikuti Ipoh (7 Februari 2026) dan kemudian disusuli lokasi lain termasuk Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Miri, Kota Kinabalu dan kemuncak jelajah di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI