KUALA LUMPUR – Para peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) disaran melunaskan bayaran balik pinjaman bagi mengelakkan sekatan perjalanan ke luar negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan mendedahkan, setakat ini kira-kira 200,000 peminjam yang direkodkan masih belum membuat pembayaran sejak tahun 2000.
Beliau berkata, sekatan itu bukan bertujuan menghukum, sebaliknya bagi memastikan manfaatnya dapat diteruskan kepada generasi akan datang.
“Sekatan dibuat bagi memperkukuh penguatkuasaan di bawah Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) ke atas peminjam yang gagal melunaskan bayaran balik pinjaman.
“Ia bertujuan menjamin keadilan dalam pengurusan dana awam selain menghargai peminjam yang komited memenuhi tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat PTPK di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Selain itu Ramanan berkata, PTPK akan beralih sepenuhnya kepada permohonan pembiayaan secara dalam talian mulai esok.
“Ia bertujuan memudahkan akses kepada rakyat, mempercepatkan pemprosesan seawal lima hari.
“PTPK juga akan memperkenalkan program kutipan bayaran balik melalui pendekatan turun ke lapangan (home visit),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














