SHAH ALAM – Pematuhan 11 syarat diwajibkan sebelum sebarang permohonan lesen penternakan babi di Ladang Tumbuk, Kuala Langat diluluskan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, penternak yang memohon semula lesen hanya akan diberikan kelulusan sekiranya ladang mereka memenuhi tiga keperluan utama: ladang tertutup, zon penampan, dan dasar sifar sisa (zero discharge).
Menurutnya, kerajaan negeri memberi tempoh setahun untuk penternak menyesuaikan operasi ladang mereka mengikut keperluan ini.
“Justeru, kami meminta kesemua 112 ladang penternakan babi di Ladang Tumbuk untuk mengemukakan permohonan semula bagi membolehkan mereka menternak secara sah. Mereka perlu mematuhi 11 syarat yang ditetapkan sekiranya mahu permohonan mereka diterima.
“Selepas permohonan diluluskan, penternak wajib memastikan ladang mereka adalah ladang tertutup, mempunyai zon penampan, dan mengamalkan dasar sifar sisa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Izham, kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen penternakan sejak tahun lalu disebabkan isu pencemaran dan penularan Demam Babi Afrika (ASF) di Selangor.
“Isu penternakan babi ini telah dibahaskan secara mendalam dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam. Kami ambil keputusan penternak ini perbaharui lesen penternakan kerana hendak pastikan kadar sara diri (SSR) bekalan babi di Selangor tidak kurang dari 50 peratus selain menjaga keharmonian dalam negeri memandangkan Selangor didiami pelbagai kaum,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














