KUALA LUMPUR – Seorang pejuang kanser sempat menitipkan hadiah istimewa kepada suami dan empat anaknya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini pada Khamis lalu.
Nur Saidatul Akhmal Md. Yunus, 37, menghidap kanser usus tahap empat sejak Mei 2023 dan penyakit itu merebak ke paru-paru akibat daripada sel-sel kanser menjadi agresif.
Sebelum meninggal dunia, dia sempat membeli kurta putih untuk suaminya dan jubah putih untuk empat anaknya yang masing-masing berusia tiga hingga 12 tahun.
Suami arwah, Mohd. Khairul Faiz Mohd. Johari, 35, berkata, pemergian wanita tercinta itu merupakan detik paling menyedihkan dalam hidupnya, lebih-lebih lagi selepas Allahyarham sempat menghadiahkannya dan anak-anak sepersalinan pakaian putih.
“Dia beli senyap-senyap tanpa beritahu saya. Isteri belikan kurta putih untuk saya dan jubah putih untuk anak-anak. Barang itu dihantar ke alamat sekolah tempat dia praktikum.
“Sebaik barang sampai, isteri tidak sihat dan saya pergi ambilkan. Dia siap pesan jangan buka bungkusan itu.
“Rupanya dia beli baju untuk kami, tapi untuk dia tidak ada. Dia sempat pesan, kalau dia sudah tiada nanti, saya dan anak-anak pakai baju ini. Semua warna putih. Itu permintaan terakhir dia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Khairul Faiz yang bertugas sebagai kontraktor berkata, walaupun isterinya bergelut dengan penyakit, Allahyarham berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di bawah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kepujian kelas pertama dan baru sahaja selesai jalani praktikum pada Oktober lalu.
“Dia tidak berminat menjadi cikgu, tetapi impiannya adalah untuk anak-anak. Dia mahu mereka mendapat pendidikan terbaik dan kehidupan yang lebih teratur,” katanya.
Khairul Faiz berkata, pada Oktober tahun lalu, doktor beritahu bahawa isterinya mungkin tidak bertahan lama dan rawatan kemoterapi dihentikan pada Disember, manakala arwah ditempatkan dalam fasa palatif.
Katanya, arwah juga sempat menjalani dua pembedahan, membuang sebahagian usus, dan menyambung semula usus yang masih mengandungi tumor.
“Saya tidak putus asa, saya dapatkan rawatan susulan untuk isteri di Hospital Pantai dan sepatutnya Jumaat lepas adalah temu janji pertamanya.
“Namun keadaan fizikalnya semakin merosot. Pada Rabu lalu, dia dimasukkan ke unit kecemasan kerana masalah pernafasan akibat sel kanser yang menutupi paru-paru. Pukul 5.30 pagi dia kejut saya, nampak penat sangat. Dan pagi selesai hantar anak-anak ke sekolah, saya terus bawa ke hospital,” katanya.
Sepanjang berada di hospital, Khairul Faiz setia menemani isterinya dan ahli keluarga juga sempat datang melawat.
Tambahnya, pagi hari terakhir wanita itu, arwah ada memesan jus epal iaitu minuman kegemarannya semasa rawatan.
“Habis dua botol dia minum. Pagi itu saya bawa anak-anak jumpa mama mereka. Saya minta anak-anak peluk, cium dan minta maaf pada arwah. Kemudian, keadaan arwah makin merosot, saya bisik padanya saya reda jika sudah tiba untuk dia tinggalkan kami. Mak arwah dan keluarga juga sudah bersedia.
“Saya dengar arwah ada tarik nafas panjang dan kemudian arwah terus tidak sedarkan diri. Saya puas sebab saya ada dengannya hingga akhir hayat,” katanya.
Allahyarham Nur Saidatul meninggalkan empat orang cahaya mata iaitu Nur Zara Elvina, 12, Muhammad Thariq Eidraqi, 10, Muhammad Tayyip Erdogan, 7, sert Georgia Nur Elrizqaa, 3, dan jenazah dikebumikan selepas solat isyak di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Kuala Lumpur.
“Sebelum ini arwah pesan nak saya kebumikan dia dekat dengan kubur arwah mak saya di Jitra, Kedah. Tapi baru-baru ini, dia bersungguh-sungguh mahu saya kebumikan di Kuala Lumpur. Di mahu dekat dengan saya dan anak-anak.
“Antara lain pesanan akhir arwah ialah mahu saya sediakan satu bingkai potret gambarnya dan dia pesan jika tiba hari konvokesyennya nanti, mahu saya dan anak-anak naik pentas sama-sama mewakilinya,” kongsinya.
Khairul Faiz berkata, dia kini memikul tanggungjawab menjadi ibu dan ayah kepada semua anaknya.
“Saya uruskan sepenuhnya anak-anak. Keluarga banyak membantu, tetapi tanggungjawab utama tetap pada saya.
“Walaupun mama telah pergi, semangatnya tetap hidup dalam diri kami,” luahnya.














