PETALING JAYA – Syarikat tempatan, Revenue Discovery dan pakar runding pengurusan kualiti Indonesia, PT Wahana Kendali Mutu (WKM) menjalin kerjasama memperkukuh teknologi digital dan amalan kualiti untuk kegunaan pemain industri.
Kerjasama antara kedua-dua syarikat tersebut telah dimeterai dalam satu perjanjian baru-baru ini bagi membina satu modul latihan hibrid berteraskan teknologi tersebut.
Pengarah Urusan Revenue Discovery, Muhammad Syahmi Sadan, berkata kerjasama itu selari dengan keperluan pasaran semasa yang menuntut penyelesaian berskala dan mampan.
Selain modul latihan hibrid katanya, kedua-dua pihak turut melaksanakan projek transformasi digital menekankan pendekatan pengurusan berasaskan data.
“Projek tersebut berfokus untuk mengintegrasikan metodologi peningkatan produktiviti dengan sistem digital moden bagi membantu organisasi meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing.
Melalui kolaborasi ini, kita bukan sekadar menawarkan teknologi, sebaliknya menyediakan penyelesaian menyeluruh disokong disiplin operasi terbukti berkesan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah WKM, Damayanti berkata, gabungan kepakaran kedua-dua organisasi itu mampu memberi nilai tambah khususnya dalam usaha membina daya saing jangka panjang.
“Pendekatan ini membolehkan organisasi bukan sahaja menambah baik proses dalaman, malah membangunkan keupayaan lebih mampan,” katanya.-KOSMO! ONLINE














