JOHOR BAHRU – Tiga wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam satu operasi khas di sebuah premis perniagaan di Mount Austin, semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa berusia antara 24 hingga 33 tahun itu dipercayai dipaksa bekerja di kilang milik majikan pada waktu pagi sebelum diarahkan bekerja pula di premis kediaman selepas tamat waktu kerja.
“Pasport mangsa juga ditahan majikan, pergerakan mereka dihadkan selain dikenakan sekatan komunikasi untuk menghubungi keluarga di negara asal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah selama satu hingga dua tahun itu dijanjikan gaji RM1,800 sebulan namun tidak pernah menerima bayaran penuh.
Katanya, susulan itu majikan mangsa, seorang lelaki tempatan bersama dua wanita tempatan berusia antara 31 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670). – KOSMO! ONLINE














