PARIS – Pemimpin-pemimpin Eropah tampil bersatu untuk menyokong Denmark dan Greenland selepas salah seorang pegawai kanan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan bahawa Washington mungkin mengambil alih wilayah Artik itu menggunakan kekerasan, lapor akhbar The Guardian semalam.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Friedrich Merz menyatakan bahawa Greenland adalah milik rakyatnya, dalam satu kecaman yang jarang berlaku dari Eropah terhadap White House.
“Hanya Denmark dan Greenland sahaja yang berhak membuat keputusan mengenai hal-hal berkaitan mereka,” kata ketiga-tiga pemimpin itu dalam satu kenyataan semalam, bersama-sama Perdana Menteri Denmark, Itali, Poland dan Sepanyol.
Starmer turut mengulangi sokongan Britain untuk Denmark dalam satu sidang akhbar di Paris, Perancis di mana Utusan Khas Trump, Steve Witkoff dan menantunya, Jared Kushner turut hadir.
Namun, bagi mengelakkan perpecahan transatlantik dengan lebih mendalam, Starmer, Macron dan Merz memilih untuk memberi tumpuan kepada komitmen keselamatan baharu untuk Ukraine, pada satu acara yang bertujuan mengukuhkan sokongan untuk Kyiv dan dirancang sebelum krisis Greenland tercetus.
Pengisytiharan Eropah itu muncul sebagai tindak balas kepada tuntutan semula AS untuk menguasai wilayah tersebut selepas penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro oleh tentera AS Sabtu lalu. – AGENSI














