SYDNEY – Kemunculan lubang benam gergasi di tengah sebuah taman awam di Australia merupakan kejadian biasa yang kerap berlaku, demikian menurut seorang pakar geologi seperti laporan portal berita MailOnline semalam.
Lubang benam berukuran beberapa meter lebar itu ditemukan di AJ Burkitt Oval di Heidelberg, timur laut Melbourne semalam.
Ia ditemukan berhampiran kawasan mesin pengorek terowong yang sedang menjalankan projek North East Link bernilai AUD$26 bilion (RM71 bilion).
Agensi kerajaan negeri Victoria yang mengendalikan projek tersebut, VIDA Roads mengaku bahawa mesin pengorek terowong itu berkemungkinan menyumbang kepada masalah berkenaan.
“Kami sebenarnya yakin bahawa mesin pengorek terowong itu merupakan faktor penyumbang, namun bukan semestinya punca utama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif VIDA Roads, Duncan Elliott.
Seorang pakar kejuruteraan infrastruktur Universiti Melbourne, Guillermo Narsilio berkata, aktiviti manusia termasuk pembinaan terowong boleh mempercepatkan pembentukan lubang benam.
“Lubang benam berlaku di seluruh dunia, namun agak kurang dilaporkan di peringkat antarabangsa berbanding di Australia.
“Apabila populasi semakin bertambah dan infrastruktur semakin uzur seperti paip air bocor, ditambah pula dengan perubahan corak cuaca serta hujan lebih lebat, kita akan mengetahui lebih banyak mengenai kejadian kemunculan lubang benam di seluruh dunia,” tambah beliau. – AGENSI














