MANCHESTER – Misi Manchester City bagi mencabar takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini semakin sukar selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Chelsea kelmarin.
Situasi itu dijangka bertambah parah apabila mereka berdepan krisis kecederaan di bahagian pertahanan menjelang perlawanan minggu ke-21 menentang Brighton di Stadium Etihad awal pagi esok.
Pengurus City, Pep Guardiola mungkin terpaksa menggunakan khidmat pemain-pemain akademi ketika bertemu Brighton selepas dua tonggak pertahanan, Josko Gvardiol dan Ruben Dias mengalami kecederaan.
“Berhubung keadaan kedua-dua pemain itu, kami perlu menunggu keputusan daripada pasukan perubatan. Kami akan mengetahui keadaan Josko (Gvardiol) selewat-lewatnya sebelum perlawanan tersebut.
“Bagaimanapun, situasi Ruben (Dias) agak berbeza kerana kecederaannya agak serius. Sekarang kami ada empat pemain akademi di bangku simpanan, mungkin selepas ini lebih ramai akan dipanggil,” kata Guardiola.
Sementara itu, Guardiola tetap percaya dengan kemampuan pemain-pemainnya untuk terus mencabar takhta kejuaraan dan beliau tetap positif dengan peluang tersebut sekiranya mereka tidak hilang keyakinan.
“Selepas apa yang berlaku musim lalu, kami cuba untuk bangkit semula tetapi ia memerlukan langkah tepat. Apa yang penting sekarang adalah semua pemain perlu percaya dengan diri sendiri,” ujarnya. – AGENSI














