BANGKOK – Seorang wanita Malaysia berkongsi pengalaman menyeramkan yang menghantui ketika dia menginap di sebuah hotel popular di Thailand, lapor laman berita Thaiger semalam.
Dalam hantaran di laman Facebook, wanita tersebut berkata, sepanjang penginapan selama lima hari di bilik hotel bernombor 301 itu baru-baru ini, dia mengalami pelbagai kejadian aneh.
Antaranya lampu bilik mandi yang tidak henti berkelip, meskipun selepas dibaiki dan dia kerap terjaga daripada tidur antara pukul 3 hingga 4 pagi (waktu tempatan) dalam keadaan seolah-olah dikejutkan oleh ‘seseorang’.
Beberapa hari selepas menginap di hotel berkenaan, dia menemukan sehelai kertas misteri di sebelah televisyen.
Ia merupakan kertas tangkal dari tokong yang tidak menunjukkan petunjuk jelas tentang nasib baik atau buruk.
Wanita itu berkata, tangkal itu tiada di situ sebelum ini.
Dalam satu lagi detik menyeramkan, wanita itu berkata, ketika memeriksa kawasan singki, dia mendapati tiada gulungan tisu di sebelahnya.
Namun, selepas keluar sebentar untuk mengambil tisu, dia melihat gulungan tisu tiba-tiba tergantung di tempat tersebut.
Wanita tersebut berkongsi cerita itu untuk mengingatkan pelancong lain supaya memilih berhati-hati apabila hotel penginapan. – AGENSI














