BATU PAHAT – Mayat salah seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menjaring pada Jumaat lalu ditemui tersepit pada kayu bakau kira-kira dua kilometer daripada lokasi penemuan bot dinaiki dua orang nelayan pada Sabtu.
Mayat Mohd Saiful Azli Ahmad,45, ditemui seorang nelayan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari keempat hari ini kira-kira pukul 9.12 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mayat lelaki itu ditemui di kawasan perairan Pantai Sarang Burung iaitu antara Perepat dan Punggur, Rengit di sini.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Sungai Tongkang menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membolehkan pengecaman awal oleh ahli keluarga berkaitan kehilangan (OH).
“Pengecaman awal oleh Nur Syazalina Ahmad, 29, melalui fizikal, pakaian, dokumen diri serta telefon bimbit mendapati mayat berkenaan adalah abangnya, Mohd Saiful Azli Ahmad, 45.
“Mayat akan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat dan siasatan lanjut,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar lagi, usaha mengesan seorang lagi nelayan iaitu Mohd Fadzli, 41, sedang giat dilaksanakan dan berharap dapat ditemui dalam masa terdekat ini. – KOSMO! ONLINE














