fbpx
Nurulhidayah.

Insya-Allah kekal, Alhamdulillah – Nurulhidayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid melahirkan rasa syukur Barisan Nasional (BN) dilaporkan akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal.

Menurut beliau, dalam menghadapi realiti politik hari ini, UMNO tidak boleh lagi terperangkap dalam perdebatan dalaman yang memecah-belahkan tenaga sendiri.

“Seandainya ada perpecahan dalaman akan melemahkan parti. Ia menghakis keyakinan akar umbi dan memberi isyarat salah kepada pengundi luar UMNO masih bergelut dengan dirinya sendiri.

“Sedangkan dalam politik pilihan raya, rakyat tidak mengundi parti kelihatan keliru dan bercanggah sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO yang juga bapanya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa BN akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Nurulhidayah berkata, UMNO tidak memerlukan retorik lama atau nostalgia kemenangan silam, tetapi strategi baharu yang realistik dan berpaksikan realiti pengundi hari ini.

Kata beliau, pengundi tidak lagi menilai siapa paling lantang di pentas atau paling banyak ‘likes’ di media sosial, sebaliknya menilai siapa yang mampu menterjemahkan sokongan menjadi kemenangan di peti undi.

Ujar beliau, sorakan tidak sama dengan sokongan kerana sorakan boleh dicipta, malah ‘likes’ di media sosial boleh dimanipulasi.

“Objektif politik bukan untuk menang perbahasan atau menjadi wira di media sosial. Objektif sebenar adalah menang kepercayaan rakyat dan menterjemahkannya di peti undi.

“Jika UMNO benar-benar mahu bangkit pada PRU16, maka penyatuan dalaman, kesepakatan BN dan strategi berfakta mesti berjalan seiring.

“UMNO bukan parti yang lemah atau hilang arah, tetapi parti yang sedang melalui fasa penyesuaian dalam landskap politik baharu,” katanya.

Tambah beliau, UMNO harus memimpin BN dengan lebih jelas, menetapkan strategi kerusi, menyelaraskan naratif, memperkemaskan kerjasama parti komponen dan tampil sebagai gabungan yang bersedia memerintah, bukan sekadar bertahan.

“Parti yang kuat bukan parti yang paling bising, tetapi parti yang paling bersedia. Parti mana yang paling diam?

“Parti mana paling mendapat banyak sorakan, tetapi akhirnya tidak diterjemahkan di peti undi. Renung-renungkan. Itulah makna sebenar ‘menang sorak, kampung tergadai’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI