Saudara Pengarang,
Minggu lalu, tular di media sosial video memaparkan keterujaan orang ramai yang berpeluang menaiki bot tempur komando sempena Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerup Gerak Khas (GGK) ke-60 di Pantai Klebang, Melaka.
Selepas video itu tular, ramai pengunjung mengambil kesempatan untuk menaiki aset milik tentera tersebut sempena sambutan yang berlangsung pada 27 hingga 31 Disember lalu walaupun terpaksa beratur panjang.
Penulis merupakan salah seorang pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang menaiki bot itu yang merupakan aset terbaharu Tentera Darat. Bayaran yang dikenakan adalah RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.
Pengunjung akan dibawa bersiar-siar di Pantai Klebang selama 20 minit. Memang teruja, tetapi malangnya dua hari sebelum berakhirnya sambutan itu, ramai yang hampa kerana ia sudah dihentikan.
Penulis difahamkan acara itu dihentikan kerana terdapat rungutan daripada orang ramai yang menganggap bayaran itu mahal kerana ia adalah aset negara.
Kasihan kepada orang ramai yang sanggup untuk membayar RM10, tetapi pulang hampa.
Bagi mereka jika dikenakan RM15 pun mereka sanggup membayarnya kerana itu adalah pengalaman sekali seumur hidup.
Saya dan pengunjung lain mengharapkan Tentera Darat akan mengadakan lagi acara itu untuk memberi kesempatan orang ramai merasai berada dalam aset yang canggih.
RAHMAN MUDA
Melaka














