RAUB – Penantian hari keempat ahli keluarga terhadap lelaki yang dilaporkan hilang ketika beriadah bersama keluarga berakhir dengan khabar duka apabila mangsa ditemukan tidak bernyawa dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pusat Rekreasi Whitewater Rafting Jeram Besu, Sega, di sini, petang tadi.
Mangsa, Mohamat Firdarus Jumaidi, 26, yang juga juruteknik kilang ditemui terapung kira-kira pukul 3.40 petang oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang menjalankan pencarian menggunakan kaedah ‘surface searching’ di kawasan Lubuk Biara, kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Pahang, Mohd. Salahuddin Isa, berkata penemuan itu hasil operasi SAR bersepadu yang memasuki hari keempat melibatkan pelbagai agensi keselamatan serta bantuan orang awam.
“Operasi hari keempat dimulakan seawal pukul 8 pagi dengan pembahagian pasukan kepada tiga lokasi iaitu tebing sungai, di dalam air dan sepanjang aliran sungai.
“Seramai 57 anggota daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Anjing Pengesan (K9) serta Polis Bantuan terlibat dalam operasi ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sebaik mangsa ditemui, mayat mangsa dibawa menaiki bot ke Pos Kawalan Operasi Bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mangsa yang baharu empat bulan mendirikan rumahtangga dilaporkan hilang kira-kira pukul 12.45 tengah hari Khamis lalu selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika beriadah bersama isteri dan ahli keluarga lain.
Mangsa yang berasal dari Sipitang, Sabah dan menetap di Johor Bahru, dihanyutkan arus ketika berada di kawasan jeram bersama isterinya, Putri Nursyafika Yasmin Azizan Shah, 27, serta ahli keluarga lain. – KOSMO! ONLINE














