HULU TERENGGANU – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir gelombang baharu ekoran kemunculan satu lagi luruan hujan bermula esok.
Ketua Pengarah Nadma, Meor Ismail Meor Akim berkata, episod hujan lebat selama lima hari sehingga Jumaat tersebut merupakan kelima sejak bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) pada November tahun lalu.
“Diikutkan negara diramal menerima enam atau tujuh luruan hujan lebat sepanjang tempoh MTL kali ini dan kita telah menghadapi empat (episod) sebelum ini.
“Semua agensi (penyelamat) telah bersiap siaga menghadapi luruan hujan terbaharu yang dijangka berlaku esok iaitu 5 hingga 9 Januari ini,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis penyerahan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) SMK Matang.
Meor Ismail berkata, setakat ini, empat negeri iaitu Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak masih terjejas banjir kesan daripada luruan hujan terdahulu tetapi ia tidak begitu membimbangkan.
Dalam pada itu, belia berkata, PPKB SMK Matang merupakan pusat penempatan mangsa banjir kekal pertama yang berjaya disiapkan di Terengganu dan ketiga di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE














