TERTARIK dengan perkongsian seorang pempengaruh di media sosial tentang gangguan makhluk halus membuatkan Sharifah (bukan nama sebenar) terimbau kembali pengalaman pertama kali berdepan dengan entiti ghaib.
Kata Sharifah, sebelum berpindah ke sebuah kawasan perumahan untuk golongan ‘elit’ di Hulu Kelang, Selangor kira-kira 15 tahun lalu, dia tidak pernah berdepan sebarang hal aneh atau mistik.
Sharifah dan suami memilih berpindah ke kawasan tersebut disebabkan lokasinya berhampiran dengan tempat kerja dan strategik untuk pulang ke kampung kerana berdekatan Plaza Tol Gombak bagi laluan ke Pantai Timur.
“Awalnya, saya hanya mendengar cerita daripada penduduk setempat mengenai beberapa lokasi seram di kawasan perumahan itu yang sering menghantui pemandu pada waktu malam.
“Menurut beberapa orang jiran, terdapat penampakan pontianak dan makhluk seram yang sering mengganggu pemandu kereta pada lewat malam dan senja,” katanya berkongsi cerita kepada CitaRasa baru-baru ini.
Selepas beberapa bulan tinggal di perumahan itu, Sharifah tidak berdepan dengan sebarang pengalaman menakutkan sehinggalah pada suatu hari dia terpaksa memandu pulang ke rumah pada pukul 1 pagi.
Sharifah memberitahu, waktu itu dia memandu bersendirian selepas menghadiri acara makan malam anjuran pejabatnya.
Katanya, ketika melalui kawasan perhentian bas, perhatian Sharifah tertumpu ke arah seorang individu yang sedang berjoging di tepi jalan.
“Saya melihat seperti seorang lelaki sedang berjoging. Saya mula terfikir, berani betul dia berjoging pada waktu sebegitu.
“Kemudian, saya memberanikan diri memandu menghampiri individu itu untuk melihat wajahnya.
“Namun alangkah terkejutnya saya apabila mendapati individu itu tidak mempunyai kepala dan hanya ada bahagian leher.
“Selepas itu, saya terus melajukan kereta dan tidak menoleh ke belakang atau melihat cermin sisi,” ujarnya.
Disebabkan terlalu takut, Sharifah hilang kawalan ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas ke bahu jalan.
Nasibnya baik, kereta dipandu dapat mengelak daripada terlanggar penghadang jalan.
Dalam keadaan takut, Sharifah tetap meneruskan pemanduannya untuk pulang ke rumah.
Sebelum sampai ke rumah, dia sekali lagi berdepan detik mencemaskan.
Kali ini, Sharifah telihat kelibat wanita sedang berdiri betul-betul di tengah jalan.
“Jantung saya kembali berdegup laju saat melihat susuk wanita berambut panjang berdiri di tengah jalan menuju ke rumah saya yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi itu.
“Waktu itu, saya hanya teringat cerita jiran-jiran tentang gangguan hantu pontianak yang sering berlaku di jalan berkenaan.
“Kali ini, saya memilih untuk terus memecut laju kereta tanpa menoleh melihat pontianak itu.
“Saya meneruskan pemanduan sambil dalam hati membaca ayat-ayat suci al-Quran sehingga sampai ke rumah,” ujarnya.
Selepas sampai di depan pintu pagar rumah, Sharifah terus menghubungi suaminya kerana takut untuk keluar dari kenderaan.
“Apabila masuk ke dalam rumah, saya terus ke dalam bilik air untuk mandi.
“Saya tidak bercerita sepatah pun tentang kejadian misteri dialami kepada suami.
“Keesokan harinya, suami ada tanya ke mana saya pergi semalam? Ini kerana dia menemukan banyak bunga melur di atas cermin bahagian hadapan dan belakang kereta.
“Saya mula berasa pelik dan tertanya-tanya bagaimana ada bunga itu di kereta saya.
“Setahu saya, di sepanjang laluan perumahan tersebut tidak ada langsung pokok melur.
“Selang beberapa hari, saya menceritakan kisah seram yang dialami kepada beberapa orang jiran.
“Mereka meminta saya pergi berjumpa dengan salah seorang ustaz di kawasan perumahan itu untuk berubat dan minta ‘air tawar’.
“Menurut mereka, gangguan misteri dialami oleh saya sama seperti yang sering berlaku kepada ‘insan terpilih’ di kawasan perumahan tersebut.
“Jadi, saya perlu berubat supaya tidak terkena lagi gangguan berkenaan pada masa depan,” katanya.
Sejak kejadian tersebut, Sharifah tidak berani lagi memandu kenderaan secara sendirian ke rumah terutama pada waktu malam kecuali ditemani oleh suaminya.















