PETALING JAYA – Sepasang pengantin tidak menyangka sesi penggambaran hari bahagia mereka bertukar menjadi detik luar biasa apabila Sultan dan Tengku Ampuan Pahang mencemar duli turun menyapa sebelum berkenan bergambar bersama di kawasan berhampiran istana.
Momen berkenaan mencuri perhatian ramai selepas rakaman serta beberapa keping foto dimuat naik di media sosial, memaparkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa bersama pasangan pengantin tersebut.
Menerusi video yang dimuat naik pengantin lelaki di Threads @ShahAmirul, pada awalnya dia bersama jurugambar hanya berhasrat melambai apabila kenderaan pasangan diraja itu melintasi lokasi penggambaran mereka.
Namun, pasangan pengantin itu terpinga-pinga apabila kenderaan berkenaan tiba-tiba berhenti sebelum pasangan diraja berkenan mencemar duli menuruni kenderaan bagi menyantuni mereka.
Dalam foto yang dikongsikan, Tengku Ampuan Pahang turut dilihat menyerahkan sampul diraja berwarna kuning kepada pengantin perempuan dipercayai sebagai hadiah perkahwinan, sekali gus menambah rasa terharu pasangan itu.
Sultan Pahang juga sempat berseloroh kepada pengantin menggambarkan suasana mesra Baginda terhadap rakyatnya walaupun dalam pertemuan bersahaja.
“Kenapa tak cakap gambar sini kalau tahu saya panggil naik istana’,” seloroh Sultan Pahang sambil disahut dengan gelak tawa pasangan pengantin yang mengenakan busana berwarna merah hati itu.
Di dalam hantaran berbeza, pengantin lelaki itu menyifatkan momen itu merupakan kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
“Kenangan yang tidak akan kami lupakan sampai bila-bila. Terima kasih semua yang ucap selamat pengantin baharu kepada kami. Aci tak kalau cakap ‘wedding of the year’ hehe terima kasih Tuanku,” tulisnya.
Hantarannya itu mendapat lebih 17,900 tanda suka, 312 komen dan 731 perkongsian.
Rata-rata menganggap pasangan pengantin itu sangat bertuah kerana bukan semua orang mempunyai peluang untuk bertemu dengan Pasangan Diraja Pahang tersebut.
“Bertuahnya kau bang, untung gila Raja Pahang berkenan turun bergambar dengan kau. Tak semua orang dapat,” komen Mohd Zul.
“Cuma nak tahu bang, berapa isi sampul kuning tu hehehe. Tahniah bang dan pasangan, memang untung,” komen Aqmarul pula. – KOSMO! ONLINE














