PETALING JAYA – Trend penyediaan makanan secara langsung (live) di media sosial tanpa mematuhi aspek kebersihan mencetuskan kebimbangan ramai.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, pengendali makanan yang memasak tanpa memakai pelitup muka serta bercakap terus di atas makanan terdedah disifatkan sebagai isu pencemaran makanan.
“Dalam banyak live, ada yang masak tanpa pelitup muka, bercakap kuat betul-betul atas makanan, siap nampak titisan air liur halus masa dia sembang. Benda macam ni bukan isu “sensitif”, ini isu pencemaran makanan,” tulis PHM di ruangan kapsyen.
Menurut PHM, berdasarkan bahan pendidikan keselamatan makanan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), perbuatan bercakap, batuk atau bersin ke arah makanan boleh menyebabkan pencemaran kerana titisan daripada mulut dan hidung berpotensi membawa kuman.
“Sebab titisan dari mulut dan hidung boleh bawa kuman. Bila jatuh atas makanan yang terdedah, risiko sakit perut, muntah, cirit-birit jadi lebih tinggi,” jelasnya.
Tambah PHM, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menetapkan pengendali makanan wajib mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan makanan, termasuk larangan menggunakan nafas untuk membuka beg atau pembungkus makanan.
“Pengendali makanan wajib elak apa-apa perlakuan yang boleh mencemarkan makanan dan ada larangan spesifik seperti jangan guna nafas untuk buka beg atau pembungkus sebab itu memang cara paling mudah memindahkan kuman dari mulut ke makanan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan lebih peka sebelum membeli makanan dengan memastikan makanan berada dalam keadaan bertutup, pengendali tidak bercakap menghadap makanan, menggunakan peralatan seperti penyepit atau senduk serta memastikan kawasan penyediaan kelihatan bersih dan terkawal.
“Kalau jelas teruk dan berulang, anggap sahaja itu “signal” untuk anda jangan beli, dan anda boleh buat aduan kepada pihak berkuasa tempatan atau pejabat kesihatan kawasan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














