fbpx
MOHD. RIDHWAN menyampaikan sumbangan baucar persekolahan bernilai RM70 dan beg sekolah kepada murid-murid yang terdiri daripada anak-anak Pendika di Mydin MITC Melaka, hari ini.

1,000 murid B40 di Hang Tuah Jaya terima baucar RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Lebih 1,000 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hang Tuah Jaya menerima sumbangan persekolahan bernilai RM100 setiap seorang.

Pengerusi World Youth Foundation (WYF), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, sumbangan tersebut disalurkan berdasarkan keperluan yang dikenal pasti dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya bagi membantu persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu.

“Program kali ini dianjurkan dalam skala lebih besar berbanding sebelum ini dan sumbangan diberikan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan, sama ada di kawasan perumahan mahupun perkampungan.

“Setiap murid menerima baucar bernilai RM100 bagi pembelian pakaian seragam dan kelengkapan sekolah, sekali gus diharap dapat meringankan beban keluarga, terutama yang mempunyai ramai anak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program ‘Happy To School 2026’ anjuran WYF bersama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) dan Malakoff Corporation Berhad di Mydin MITC, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada 2,000 murid yang bakal memulakan persekolahan tahun satu di bawah Program Langkah Pertama ke Sekolah.

“Kita berikan mereka kotak pensel dan pensel warna sebagai suntikan semangat serta bagi mewujudkan rasa gembira dalam kalangan murid untuk memulakan alam persekolahan.

“Sumbangan ini disampaikan secara berperingkat membabitkan 16 sekolah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah,” ujarnya.

Terdahulu, pada program tersebut, seramai 50 murid terdiri daripada anak pengamal media turut menerima baucar bernilai RM70 serta sebuah beg sekolah.

Mohd. Ridhwan berkata, program julung kali bersama pengamal media itu diadakan sebagai penghargaan terhadap peranan media yang sentiasa membuat liputan serta memberi impak positif kepada pertubuhan itu dan juga kerajaan negeri.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI