SEBERANG PERAI – Malaysia Modifighter Festival (MMF) 2026 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan di sini menjadi platform dalam mengetengahkan peminat sukan permotoran tanah air sekali gus membantu memperkasakan industri automatif kepada generasi belia.
Peneraju Choii Motorsport yang juga penganjur utama, Muhammad Faris Azri Md Hanid berkata, program terbesar di wilayah utara tersebut menyasarkan kira-kira 400,000 pengunjung sepanjang penganjurannya selama empat hari, bermula hari ini.
Menurutnya, acara yang diadakan buat julung kalinya itu bukan sahaja berpeluang mengumpul seramai 60 pelumba drift seluruh Malaysia, malah menjadi gelanggang mengasah bakat para peminat sukan permotoran.
“Objektif penganjurannya bertujuan menarik minat golongan anak muda terhadap aktiviti sukan permotoran. Acara ini juga menjadi fokus utama kepada semua lapisan masyarakat termasuk pempengaruh media sosial yang menjadikan sukan permotoran sebagai konten.
“Setengah daripada kita memandang sukan motorsport dari sudut berbeza, tapi ia sebenarnya luas. Di sini, kami nak pengunjung melihat sendiri acara yang berlangsung dan suasana sepanjang penganjurannya sekali gus menimba pengalaman dalam dunia permotoran,” katanya pada sidang akhbar di sini, malam tadi.
Festival anjuran Choii Motorsport itu diadakan dengan kerjasama Petronas Sprinta, Petronas Syntium dan Tunica Scent. Pada acara tersebut, pengunjung berpeluang menyaksikan jentera Formula Satu (F1) yang dipandu pelumba sensasi, Lewis Hamilton ketika bersama pasukan Mercedes AMG Petronas selain hadiah cabutan bertuah premium berupa kereta jenis Nissan Skyline R34.
Mengulas lanjut, Faris memberitahu, penganjuran acara permotoran yang menggabungkan para peminat kereta dan motosikal ini juga merupakan sebahagian usaha dalam menangkis pemikiran negatif terhadap imej budaya golongan ‘mat rempit’.
“Bagi saya, setiap orang mempunyai hak untuk merealisasikan hobinya sendiri. Ada orang dia minat main skateboard, ada orang minat fesyen, mungkin dia tak main motor tapi dia main superbike.
“Minat pula diukur dari segi poket. Ada orang poket lebih, mungkin dia tak main motor kapcai, dia main motor superbike. Disebabkan itu alasan yang saya nampak adalah minat. Minat orang kita tak boleh halang.
“Penganjuran acara seperti ini dilihat mampu menepis pola pemikiran terhadap golongan mat rempit dan cuba membawa ke arah yang betul.
“Bagi saya, program sebegini juga merupakan trek atau gelanggang untuk anak-anak muda berkumpul. Yang saya nampak lah kalau ada trek, mungkin kita boleh bawa anak-anak muda semua ke trek. Bila tak ada trek, kita bawa semua ke event lah, itu yang saya nampak,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














