fbpx
Mas Ermieyati.

Saya tidak akan letak jawatan walaupun wujud desakan – Mas Ermieyati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan walaupun wujud desakan dan gesaan daripada segelintir pihak susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN Pusat.

Katanya, keputusan itu bukan kerana kepentingan peribadi atau mahu mempertahankan kuasa, sebaliknya dibuat atas tanggungjawab, kestabilan organisasi dan kepentingan perjuangan PN di peringkat negeri.

“Pertama, hubungan antara kepimpinan PN Melaka, khususnya bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Zulkifli Ismail, serta seluruh komponen parti berada dalam keadaan baik, harmoni dan saling mempercayai.

“PN Melaka kini berada dalam fasa persiapan penting menghadapi Pilihan Raya Negeri dalam tempoh empat hingga enam bulan.

“Kesinambungan kepimpinan dan kerjasama erat amat penting bagi memastikan gerak kerja jentera dan strategi berjalan tersusun serta berkesan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita PN Pusat berkata, sebarang perubahan mendadak berisiko melemahkan momentum dan menafikan dakwaan bahawa pelantikan Pengerusi PN Negeri serta jawatan lain terbatal secara automatik.

Mas Ermieyati menjelaskan, semua pelantikan dibuat berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi PN, walaupun pencalonan dibuat oleh parti komponen mengikut kesesuaian dan konteks setempat.

“Saya sependapat dengan Timbalan Pengerusi PN Kelantan dan Terengganu bahawa hubungan Bersatu dan PAS di negeri tersebut harmoni dan sama seperti keadaan di Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa hanya kepimpinan PN Melaka menjadi sasaran tohmahan, sedangkan negeri lain termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak dipersoalkan walaupun mengekalkan struktur gabungan serupa.

Katanya lagi, semua pihak dinasihati untuk menghentikan polemik terbuka di media sosial yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap PN dan menekankan kesediaannya melepaskan jawatan sekiranya keputusan itu dibuat secara matang oleh Mesyuarat Tertinggi demi kepentingan parti.

Tambahnya, beliau yakin hubungan Bersatu dan PAS, yang diibaratkan sebagai adik-beradik dalam perjuangan, mampu dipulihkan dengan kebijaksanaan kepimpinan baharu demi memperkukuh masa depan PN dan memastikan parti terus diyakini rakyat.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI