fbpx
Seramai 36 jemaah umrah didakwa terpaksa berpindah-randah ketika di Mekah dan Madinah serta dikatakan belum mendapat tiket penerbangan pulang ke Malaysia yang sepatutnya pada semalam dan 3 Januari ini.

Jemaah umrah ‘pindah-randah’ tukar hotel, belum dapat tiket pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.

Bahkan, lima daripada jemaah itu yang sepatutnya kembali ke Malaysia semalam, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada 3 Januari juga belum mendapat tiket tersebut.

Wakil jemaah, Ahmad Fauzi Abd. Rahman, 58, berkata, kumpulan tersebut merupakan keluarganya terdiri daripada adik-beradik, anak-anak buah serta ibu saudara isterinya dan mereka ke Tanah Suci menggunakan agensi dari Pulau Pinang.

“Kami membayar kepada agensi itu sebanyak RM7,600 untuk setiap seorang termasuk kanak-kanak. Ia tidak termasuk visa dan insurans. Kami berlepas pada 20 Disember dan tiba di Madinah terlebih dahulu serta meneruskan perjalanan ke Taif.

“Di Taif sepatutnya menginap satu malam, tetapi menjadi dua malam. Kami diuruskan oleh seorang mutawif ‘freelance’ warga Indonesia dan rupa-rupanya pihak agensi belum tempah hotel kami.

“Kerana simpati, mutawif tersebut mendahulukan wangnya dan bantu kami menempah hotel. Dia maklumkan akan menuntut wang itu nanti dengan seorang individu bernama Ibrahim (wakil agensi),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Ahmad Fauzi mendakwa, mereka sekali lagi berdepan episod buruk apabila ditempatkan di hotel tidak seperti dijanjikan ketika di Mekah, malah turut berpindah ke hotel lain sejauh 5 kilometer (km) dari situ.

“Kami bertolak ke Mekah pada 22 Disember dengan dijanjikan hotel setaraf tiga bintang ke atas termasuk berdekatan Menara Jam. Sampai di hotel tengah hari, namun rupa-rupanya kami tidak dibenarkan masuk kerana tiada tempahan hotel.

“Kami kena ‘sidai’ dari tengah hari dalam keadaan masih memakai ihram. Sekitar pukul 10 malam, barulah Ibrahim datang dan dia ke kaunter ‘bertekak’ juga dengan staf di situ,” katanya.

Ahmad Fauzi berkata, mereka kemudian dapat menginap di hotel tersebut, namun tempahan itu hanya sehingga 25 Disember serta perlu mencari hotel lain memandangkan ia sudah penuh.

“Kami diminta daftar keluar pukul 2 petang pada 25 Disember dan ‘bersidai’ lagi sekali di situ untuk mencari hotel lain. Kami ke hotel seterusnya di Al Aziziah yang jaraknya 5km ke Mekah.

“Bagaimanapun, keluarga saya seramai 11 orang (lapan anak dan seorang anak buah) sepatutnya ke Madinah pada 26 Disember memandangkan ada yang nak pulang awal ke Malaysia untuk bekerja, hadir kuliah dan sebagainya,” katanya.

Dakwanya, mereka terus berdepan episod buruk apabila kesukaran mendapatkan pengangkutan ke Madinah biarpun telah memaklumkan perkara itu lebih awal kepada pihak agensi.

Katanya, mereka kemudian terus dilanda masalah mendapatkan hotel sewaktu di Madinah apabila berpindah-randah sebanyak tiga kali dengan kali terakhir ditanggung dengan wang perbelanjaan sendiri.

Ahmad Fauzi mendakwa, mereka hanya boleh menginap di setiap hotel-hotel tersebut dalam tempoh semalaman, sebelum mendaftar keluar keesokan harinya serta mencari hotel lain.

“Pukul 2 petang perlu daftar keluar dan beg-beg tersebut kami letak dahulu di hotel. Kemudian kami akan ke dataran Masjid Nabawi menunggu di situ sehinggalah dapat tempahan hotel seterusnya. Hotel terakhir ini kami cari sendiri tanpa beritahu Ibrahim.

“Kami naik teksi pusing sekitar Madinah dekat dua jam. Sampaikan pemandu teksi berhenti setiap hotel dan dia tanyakan bilik kosong di kaunter. Kali ini kami dapat bermalam lama sikit berbanding hotel lain,” katanya.

Ditanya perancangan seterusnya, Ahmad Fauzi berkata, mereka tidak pasti situasi selepas ini memandangkan banyak perbelanjaan telah dikeluarkan dan mereka perlu mendaftar keluar dari hotel pada esok, sedangkan tiket penerbangan didakwa belum diterima daripada pihak agensi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN