KEJAYAAN skuad futsal negara layak ke Piala Asia 2026 dan meraih pingat gangsa Sukan SEA 2025 seakan memberi sedikit kemanisan buat arena bola sepak negara yang berdepan isu membabitkan pemalsuan dokumen pemain warisan.
Di tambah kejayaan skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara meraih tempat ketiga pada Kejuaraan B-19 Asia Tenggara membuktikan arena bola sepak negara belum ‘mati’, sementara ia menjadi pelengkap sempurna buat sukan futsal sepanjang 2025.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Hisamudin Yahaya menjelaskan setiap kejayaan yang diraih tidak datang secara kebetulan dan ia berpaksikan kepada perancangan serta kerja keras semua pihak.
“Tahun 2025 ini kita anggap tahun paling gemilang sukan futsal di Malaysia kerana berjaya mencapai prestasi cemerlang dalam kejohanan yang kita sertai. Di peringkat senior, kita melayakkan diri ke Piala Asia Futsal 2026 dan menang pingat gangsa di Sukan SEA.
“Skuad muda pula turut mencuri perhatian dengan meraih tempat ketiga Kejuaraan B-19 Asia Tenggara dan ini menunjukkan kita mempunyai pelapis yang baik. Kejayaan ini adalah hasil sokongan semua pihak khususnya FAM yang banyak merangka program untuk skuad futsal Malaysia selain pembangunan akar umbi,” katanya.
Mengulas mengenai pencapaian skuad B-19, Mohd Hisamudin akui gembira dengan semangat juang pemain muda negara yang sentiasa menyerlahkan kemahuan untuk memberikan tentangan kepada lawan lebih berpengalaman.
“Dengan kejayaan berada di kedudukan ketiga, para pemain telah melepasi sasaran awal. Kita akan jaga bakat-bakat pemain B-19 ini untuk masa depan sukan futsal di Malaysia,” katanya.














