KYIV – Presiden Volodymyr Zelensky menafikan dakwaan Russia bahawa Ukraine melancarkan serangan dron menyasarkan kediaman Presiden Vladimir Putin dan menuduh Moscow cuba menggagalkan rundingan damai, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Menteri Luar Sergei Lavrov berkata, Kyiv melancarkan serangan menggunakan 91 dron jarak jauh, menyasarkan kediaman rasmi Putin di wilayah Novgorod, barat laut Russia.
Justeru, katanya, Moscow akan menyemak semula pendiriannya dalam rundingan damai yang sedang diusahakan. Setakat ini, belum jelas di mana Putin berada semasa serangan dikatakan berlaku.
Zelensky bagaimanapun menolak dakwaan itu sebagai ‘pembohongan biasa Russia’ untuk dijadikan alasan oleh Kremlin bagi meneruskan serangan ke atas Ukraine.
Beliau berkata, Russia juga pernah menyerang bangunan kerajaan di Kyiv.
“Adalah penting dunia tidak berdiam diri. Kita tidak boleh membenarkan Russia melemahkan usaha untuk mencapai keamanan berkekalan,” katanya di laman X.
Dalam satu kenyataan dikongsi di platform Telegram semalam, Lavrov pula berkata, semua 91 dron yang dilancarkan ke kediaman Putin telah dipintas dan dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara Russia.
Menurutnya, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan akibat serangan itu.
Bagaimanapun, tambahnya, Russia tidak berhasrat untuk keluar daripada proses rundingan damai yang diusahakan oleh Amerika Syarikat(AS), lapor agensi berita Tass.
Dakwaan Moscow itu timbul selepas perbincangan antara Washington dan Kyiv di Florida pada Ahad lepas, di mana Presiden Trump serta Zelensky membincangkan rancangan damai yang disemak semula untuk menamatkan perang.
Selepas pertemuan itu, Zelensky memberitahu saluran berita Fox News semalam bahawa terdapat ‘kemungkinan untuk menamatkan perang ini’ pada 2026.
Zelensky berkata, AS menawarkan jaminan keselamatan selama 15 tahun kepada Ukraine, manakala Trump memberitahu, persetujuan untuk perjanjian damai itu ‘hampir 95 peratus selesai’.
Moscow kini menguasai kira-kira 75 peratus wilayah Donetsk, dan kira-kira 99 peratus wilayah Luhansk yang berjiran. Kedua-dua wilayah itu membentuk rantau dikenali sebagai Donbas. – AGENSI














