fbpx
FAIZAL AZUMU.

Faizal Azumu letak jawatan Pengerusi PN Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Perak berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Ahmad Faizal berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN di peringkat nasional.

“Mengambil maklum keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Nasional serta menghormati bahawa kuasa pelantikan adalah prerogatif Pengerusi, dengan ini saya memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai Pengerusi PN Negeri Perak berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Faizal turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli parti komponen PN di Perak atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan sepanjang beliau memegang amanah tersebut.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta ahli-ahli parti komponen PN Negeri Perak atas kerjasama, sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Selain itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor, susulan tindakan sama oleh Muhyiddin. –KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN