fbpx
Nurulhidayah

‘Kekal atau keluar kita yang tentukan, kenyataan sangat berat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Naratif ‘kekal atau keluar kita yang tentukan’ seperti dilontarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh semalam adalah kenyataan yang sangat berat.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, ia memberi isyarat seolah-olah keputusan strategik parti boleh ditentukan melalui tekanan emosi dan mobilisasi segera, bukan melalui struktur dan proses parti yang sah.

Ujar beliau, dalam organisasi besar seperti UMNO, hala tuju parti bukan ditentukan oleh satu sayap apatah melalui tekanan awam yang boleh ditafsir sebagai ugutan politik dalaman.
“Apabila isu hala tuju parti dibawa terus ke ruang awam dengan nada ultimatum, ia membuka ruang persepsi bahawa UMNO sedang berpecah dari dalam.

“Ini bukan sahaja melemahkan presiden dan kepimpinan tertinggi, tetapi memberi peluru percuma kepada lawan dan pemerhati politik,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Semalam, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan Pemuda UMNO akan menganjurkan konvensyen khas bagi memberi peluang kepada ahli parti menyuarakan pendirian serta isi hati berkaitan hala tuju UMNO dan Barisan Nasional dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Nurulhidayah berkata, pemimpin muda perlu memahami bahawa keberanian bersuara mesti disertai kebijaksanaan menjaga maruah parti.

Menurut beliau, pemimpin muda yang benar-benar sayangkan parti akan memilih untuk menguatkan kepimpinan, bukan melemahkannya walaupun dengan niat yang baik.

Bagaimanapun, katanya, konvensyen untuk berbincang adalah wajar, tetapi mesej yang mengiringinya sangat menentukan kesan.

Kata beliau, jika tujuan sebenarnya untuk memperkukuh UMNO, maka perbahasan perlu berlangsung dengan bahasa membina, bukan bahasa menghina dan menekan.

“Berbahaslah dengan hujah, bukan emosi. Dengan adab, bukan populariti. UMNO bukan milik satu generasi, bukan milik satu sayap, dan bukan milik individu yang paling lantang.

“UMNO adalah amanah perjuangan panjang, yang memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan kesetiaan kepada struktur, walaupun kita tidak bersetuju dengan semua keputusan.

“Duhai adik-adik yang bersemangat Hang Jebat, kesimpulannya di sini, bersuara itu hak, gelisah itu normal, tetapi menggambarkan parti seolah-olah di persimpangan ‘kekal atau keluar’ secara terbuka bukan budaya kepimpinan UMNO. Kita UMNO adik, bukan MIC,” katanya.

Terdahulu, Nurulhidayah berkata, kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu lahir daripada rasa sayang dan kegelisahan tidak boleh dinafikan.

Kata beliau, dalam politik, kegelisahan akar umbi adalah realiti dan Pemuda UMNO sememangnya berperanan sebagai suara semak dan imbang.

Jelasnya, daripada sudut prinsip kepimpinan dan disiplin organisasi, kenyataan itu membawa beberapa implikasi yang perlu direnung dengan matang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN