fbpx
Mazda BT-50 versi facelift 2025 berada di pasaran sejak November lalu.

Trak pikap Mazda versi terkini ‘tegas’ dan berkarisma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia trak pikap yang didominasi oleh kekuatan dan ketahanan, Mazda BT-50 muncul sebagai sebuah model yang membawa pendekatan berbeza.

Diperkenalkan sekitar tahun 2006, BT-50 menandakan langkah serius Mazda dalam segmen trak pikap global dengan memfokuskan kepada prestasi enjin, ketahanan dan kualiti pemanduan berbanding jenama pesaing lain di pasaran.

Seiring peredaran masa, Mazda BT-50 terus berevolusi dengan pengenalan beberapa generasi dengan reka bentuk lebih moden dan teknologi keselamatan canggih.

Bermaz Motor Sdn. Bhd. telah melancarkan Mazda BT-50 facelift 2025 untuk pasaran Malaysia pada awal November lalu dengan harga bermula RM138,000.

Dibina berasaskan falsafah reka bentuk Kodo – Soul of Motion, trak pikap generasi terbaharu ini diterjemahkan sebagai sebuah jentera yang berotot dan berkarakter lasak.

Namun, jentera ini tetap mengekalkan elemen kehalusan yang sinonim dengan jenama Mazda.

Versi terbaharu ini terserlah dari segi rekaan hadapan yang mempunyai gril yang besar.

Salah satu prinsip utama Kodo – Soul of Motion ialah konsep gerakan dalam keadaan pegun iaitu garisan badan ringkas pada BT-50 tetapi berotot serta permukaan yang bermain dengan cahaya dan bayang memberikan ilusi pergerakan walaupun kenderaan tidak bergerak.

Bahagian hadapan BT-50 menampilkan gril besar dan lampu hadapan tajam yang menyerlahkan ekspresi kuasa, keyakinan dan ketegasan.

Bahagian belakang pula dengan pintu tailgate dan lampu LED yang direka semula menampilkan kestabilan dan badan jentera kelihatan lebih lebar.

Reka bentuk ini mencerminkan wajah Kodo pada BT-50 yang tidak terlalu agresif, tetapi cukup berautoriti dan berkarisma.

Meninjau ke ruangan kabin, konsep ‘Jinba Ittai’ iaitu falsafah konsep penyatuan antara pemandu dan jentera diterapkan.

Papan pemuka direka simetri lengkap dengan skrin infotainment sembilan inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, ia dilengkapi paparan digital tujuh inci serta kawalan suhu dua zon dengan port USB type C dan corong udara belakang untuk keselesaan yang menyeluruh.

Dari segi prestasi, BT-50 dikuasakan enjin 3.0 liter turbodiesel yang digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda (4WD).

Platform BT-50 facelift terbaharu ini berasaskan teknologi Isuzu yang terkenal dengan ketahanan dan kebolehpercayaan sebagai trak pikap.

Jentera ini menawarkan gabungan kuasa, kecekapan dan keupayaan menempuh pelbagai jenis permukaan jalan serta laluan yang mencabar.

Atas kertas, trak pikap ini dikatakan mampu menghasilkan kuasa 188hp dan tork maksimum 450Nm.

BT-50 serba baharu turut menonjol melalui aspek keselamatan dengan pengenalan mod baharu Rough Terrain Mode.

Sistem pemanduan lasak itu direka bagi meningkatkan kawalan, cengkaman dan kestabilan di pelbagai permukaan yang mencabar seperti jalan tidak rata dan licin.

Aspek keselamatan turut dipertingkat melalui teknologi sistem i-Activsense yang merangkumi ciri seperti Amaran Keluar Lorong (LDWS), Brek Kecemasan Automatik (AEB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dan Pemantauan Titik Buta (BSM).

Model BT-50 ditawarkan dalam lima pilihan warna menarik iaitu Concrete Gray Mica, Vermillion Latosol Mica, True Black Mica, Geode White Pearl dan Sailing Blue Muca.

Secara keseluruhan, Mazda BT-50 ialah sebuah trak pikap serba boleh dan bernilai tinggi, sesuai untuk pengguna yang mahukan trak pikap lasak, penampilan bergaya dan selesa.

Jika anda mencari sebuah trak pikap yang seimbang antara prestasi, keselamatan dan identiti jenama, Mazda BT-50 adalah pilihan yang sukar dipertikaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN