PETALING JAYA – “Awak nak tegakkan apa yang dikatakan negara Islam, tapi awak runtuhkan keluarga. Adakah ini munasabah?”
Demikian kritikan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin terhadap sumpah baiah dikenakan sebuah parti politik terhadap pimpinannya.
Menurut beliau, sumpah baiah itu adalah menceraikan isteri sedangkan dalam politik Rasulullah SAW hendak memperkukuhkan hubungan kekeluargaan.
“Timbul isu di Perlis tentang sumpah baiah yang menceraikan isteri. Kamu berpolitik mempertaruhkan isteri. Ini adalah asas bagi pembinaan masyarakat, tapi belum lagi memerintah kita mempertaruhkan isteri kita.
“Ini sesuatu yang serius. Saya mohon maaf kepada teman-teman daripada parti tertentu, tetapi ini sesuatu yang tidak wajar dan memalukan,” katanya menerusi satu rakaman video di muat naik di media sosial hari ini.
Mohd. Asri berkata, adalah tidak munasabah untuk menegakkan negara yang dikatakan negara Islam, tetapi memecahbelahkan unit penting dalam masyarakat iaitu keluarga.
“Dalam fatwa di Perlis tidak tertalak sekiranya dia tidak bermaksud talak, sekiranya dia hanya bermaksud menyatakan dia tidak hendak dan tidak akan melakukan hal itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














