fbpx
Erra dan suami, Ezwan diraikan dalam satu majlis resepsi mewah di sebuah hotel terkemuka ibu negara semalam.

Semat memori ini selamanya, bimbinglah saya dengan baik – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suami kepada aktres popular Erra Fazira iaitu Ezwan Zain mengakui diri tidak sempurna namun berjanji akan menjaga amanah sebaik mungkin bergelar pasangan hidup Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu.

Sehubungan itu, Ezwan, 44, mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua orang untuk membina rumah tangga direstui Ilahi.

“Untuk Fazira atau Erra Fazira, majlis ini diadakan kerana awak layak diraikan dengan penuh kasih, keindahan dan ketenangan.

“Terima kasih kerana memilih saya sebagai pasangan hidup awak dan atas kepercayaan, kesabaran serta kasih sayang diberikan.

“Saya bukan insan sempurna tetapi berjanji akan terus mencuba. Di hadapan semua yang hadir, saya berjanji untuk menjaga amanah ini sebaik-baiknya dan membina rumah dipenuhi sakinah, mawaddah dan rahmah,” katanya.

Semalam, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 51, diraikan dalam satu majlis resepsi penuh gemilang di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Pelantun lagu Pasrah yang anggun dalam persalinan gaun berona keemasan rekaan Fiziwoo pula mengakui terharu dengan setiap usaha dan kejutan yang diberikan Ezwan untuk majlis resepsi mereka.

“Saya tak mahu cakap panjang-panjang tetapi nak puji suami sendiri yang melakukan segala-gala yang katanya untuk saya.

“Saya sangat terharu segala penat lelah, pengorbanannya dan tahu dia tidak tidur, serta realitinya, sehingga ke arah melangkah ke dalam dewan ini pun masih lagi bimbang untuk pastikan semuanya okey. Terima kasih sayang,” ujarnya.

Dia juga akan menyimpan segala memori majlis perkahwinannya selain berusaha menjadi pasangan terbaik buat Ezwan.

“Saya akan semat memori ini selama-lamanya dan bimbinglah saya dengan baik.

“Selain itu saya juga ingin menjadi isteri yang baik buat awak, insya-Allah,” tuturnya.

Majlis yang diadakan turut dihadiri ramai kenalan selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Datuk Yusuf Haslam dan Datuk Amy Search.

Terdahulu, Erra selamat bernikah dengan Ezwan pada 12 Disember lalu di Rinjani Majestic, Subang selepas 11 tahun bergelar ibu tunggal.

Erra sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan anggota KRU, Datuk Yusry Abdul Halim. Namun, mereka bercerai pada 2006 selepas tiga tahun berkahwin dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Beliau kemudian berkahwin dengan usahawan, Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, sebelum berpisah pada 2014.

Manakala Ezwan pula sudah lapan tahun bergelar duda dan mempunyai seorang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN