fbpx
Keadaan bumbung stesen minyak yang runtuh akibat dilanggar sebuah treler di Kampung Sungai Ular, Jalan Serdang, Kulim hari ini.

[VIDEO] Bumbung stesen minyak runtuh dilanggar treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Struktur bumbung sebuah stesen minyak di Sungai Ular, Jalan Serdang di sini runtuh selepas dilanggar sebuah treler dalam kejadian pada pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu berlaku ketika pemandu treler berusia 24 tahun mahu mengisi minyak di stesen minyak tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd. Faizal Tengku Yeng berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu treler terbabit singgah di stesen minyak itu untuk mengisi bahan api sebelum membelok ke pam diesel.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba badan treler terlanggar bahagian bumbung stesen minyak menyebabkan struktur bumbung itu runtuh,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pemandu treler terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Klang menghala ke Kuala Ketil melalui Jalan Serdang.

Menurutnya, kejadian mengakibatkan kerosakan pada bumbung stesen minyak serta empat pam minyak.

“Treler tidak mengalami sebarang kerosakan dan tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pemandu lori atau orang awam yang berada di lokasi kejadian,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kita menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya di kawasan stesen minyak yang mempunyai struktur rendah dan laluan sempit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN