fbpx
Norzaizura menunjukkan gambar Allahyarham Mohamad Syafi (kanan) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lepan Simpol, Banggol Judah dekat Machang hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI

‘Selepas solat asar, saya dapat panggilan dua beradik itu lemas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Ibu kepada seorang kanak-kanak yang lemas di pintu air Sungai Ulu Sat, Kampung Sat di sini semalam tidak menyangka anak keempat daripada enam beradik itu sanggup berkorban untuk cuba menyelamatkan abangnya yang tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, Mohamad Syafi Irsyad Mohd. Shaharudin, 13, dijumpai lemas kira-kira 1.5 kilometer (km) dari kunci air tersebut manakala abangnya, Mohamad Syaqir Iqbal, 15, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran sempat diselamatkan oleh penduduk kampung.

Ibu mangsa, Norzaizura Che Mat, 41, berkata, Allahyarham Mohamad Syafi Irsyad dikatakan hanyut ketika cuba menyelamat abangnya yang terjatuh dari pintu air itu.

Menurutnya, dua beradik itu keluar tanpa pengetahuannya semasa dia bersama suami dan dua lagi anak-anak berada di rumah keluarga mentua di Kampung Wek Baru di sini.

“Apabila sampai di rumah, saya dapati arwah Mohamad Syafi dan abangnya tiada di rumah. Selepas menunaikan solat asar, saya menerima panggilan telefon yang memaklumkan dua beradik itu lemas di kunci air.

“Saya dan suami terus bergegas ke pintu air itu yang terletak kira-kira dua kilometer dari tumah kami. Semasa kami sampai, saya lihat polis dan pasukan bomba sudah berada di lokasi kejadian untuk membantu mencari Mohamad Syafi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lepan Simpol, Banggol Judah di sini hari ini.

Norzaizura memberitahu, dia terkejut dengan kejadian itu kerana kedua-dua anaknya sudah biasa berkunjung dan bermain di kawasan pintu air itu.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka arwah Mohamad Syafi sanggup berkorban dan berani untuk cuba menyelamatkan abangnya yang dikatakan tergelincir ke dalam sungai.

“Saya belum sempat membeli pakaian sekolah untuk dua beradik itu. Saya dan suami berhajat untuk membeli kelengkapan sekolah terutamanya kepada arwah pada minggu terakhir cuti persekolahan.

“Jenazah Allahyarham Mohamad Syafi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Banggol Judah di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI