fbpx

Gugurnya permata seni negara, tiada galang ganti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI kala dunia hiburan penuh dengan kisah kontroversi artis, tahun ini juga penuh episod hiba yang menyaksikan gugurnya ramai permata seni tiada galang ganti.

Daripada legenda layar perak sehinggalah ikon muzik yang mencorakkan zaman, pemergian mereka meninggalkan kekosongan yang besar dalam jiwa peminat.

Insan-insan terbabit banyak menabur bakti, sekali gus meninggalkan legasi karya yang akan terus segar dalam ingatan peminat.

Mengenang jiwa yang sudah diangkat ke langit, mereka barangkali sudah tiada lagi di dunia ini, namun jasa dan segala memori ditinggalkan kekal setia bersarang di jiwa.

  • Jojo One Nation Emcees (26 Januari)

AWAL tahun ini, industri seni tanah air dikejutkan dengan berita meruntun jiwa apabila anggota kumpulan One Nation Emcees iaitu Jojo meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham menyertai ijtimak Qudamak Seri Petaling dan rebah sewaktu doa penutup dibacakan. Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan pernah mengalami serangan jantung pada November 2024 dan menderita angin ahmar (strok).  Pemenang tempat kelima Gegar Vaganza musim keenam (GV6) itu meninggalkan dunia seni selepas mula menyertai tabligh sekitar tahun 2020.

  • Zaleha Hamid (19 Jun)

Penyanyi dangdut legenda, Zaleha Hamid disahkan meninggal dunia pada 19 Jun di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas seminggu menerima rawatan rapi di hospital berkenaan. Allahyarham terlantar uzur sejak tahun 2020 akibat serangan angin ahmar yang menyebabkan pergerakan terbatas. Zaleha yang terkenal dengan gelaran Ratu Dangdut Malaysia dan Ratu Dangdut Singapura, merupakan ikon muzik yang mewarnai industri menerusi lagu-lagu malar segar seperti Dangdut Reggae, Jangan Segan-Segan serta Kerana Pengalaman

  • Nico (5 April)

PELOPOR muzik rap tanah air, Nico meninggal dunia dalam tidur akibat komplikasi jantung. Berita pemergian pemilik nama sebenar Abdul Fashah Abdul Aziz disahkan bekas pengurusnya iaitu Ayob Abd. Majid pada 5 April lalu. Nico mula mencipta nama bersama kumpulan Nico (kemudian dikenali sebagai Nico G) pada awal 1990-an yang dibarisi Affa dan Dino. Trio itu mencetuskan fenomena menerusi lagu-lagu hits seperti Inilah Nasibku pada 1993.

  • Roslan Salleh (7 Februari)

INDUSTRI seni tanah air terus dirundung duka dengan khabar pemergian pelakon Roslan Saleh menghembuskan nafas terakhirnya dalam tidur pada 7 Februari lalu. Perginya Roslan pada usia 69 tahun selepas beberapa tahun bertarung dengan masalah kesihatan yang kronik termasuk kencing manis. Sepanjang lebih 30 tahun berkarya, Roslan atau lebih mesra disapa Pak Lan dikenali menerusi lakonan hebat dalam pelbagai drama dan filem seperti Sembilu 2, Gerak Khas The Movie dan Munafik 2. Manakala, filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda merupakan lakonannya terakhir arwah sebelum tidak lagi aktif dalam dunia seni selepas masalah kencing manis kronik. Allahyarham bukan sahaja dihormati kerana bakat lakonannya yang versatil malah, keperibadiannya yang merendah diri turut dikagumi. Allahyarham Roslan meninggalkan seorang balu, tiga orang anak dan 10 cucu.

  • Sheqal (17 Jun)

SELEPAS beberapa tahun menderita angin ahmar, penyanyi Sheqal menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 17 Jun 2026.  Sejak diserang strok, keadaan kesihatan Sheqal atau nama sebenarnya Jamaluddin Razali itu tidak menentu dan ditidurkan pada 6 Jun di hospital sama.  Pernafasan Sheqal dikatakan tidak stabil dan berlakunya jangkitan kuman pada paru-paru serta paru-paru berair menyebabkan pihak hospital memutuskan arwah ditidurkan.  Nama Sheqal terpahat kukuh dalam sejarah muzik Malaysia menerusi album-album seperti Zapin Rindu-Rinduan dan Cinta Nusantara yang berjaya mengangkat martabat irama tradisional ke arus perdana.

  • Dharma Harun (25 November)

PELAKON dan pengarah tersohor era 80-an, Allahyarham Dharma Harun Al-Rashid disahkan meninggal dunia pada 25 November akibat kegagalan fungsi paru-paru dan komplikasi jantung di kediamannya di Wangsa Maju. Allahyarham yang sudah lama uzur dilaporkan mengalami kemerosotan kesihatan yang drastik sejak beberapa bulan lalu, termasuk mengalami kesukaran untuk bertutur dan bergerak akibat serangan angin ahmar yang pernah dialaminya sebelum ini. Nama Dharma mula melonjak naik dan menjadi kegilaan ramai menerusi filem komedi pecah panggung, Adik Manja (1980). Sepanjang kerjayanya, arwah bukan sahaja bergelar pelakon berbakat besar, malah turut berjaya sebagai pengarah menerusi naskhah seperti Anna Maria dan terlibat aktif dalam penerbitan program televisyen menerusi syarikatnya, Dharna Juta Production.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN