PETALING JAYA – Gelagat seekor kucing yang sebelum ini sesat selepas dipercayai menaiki sebuah lori dari Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Sekinchan, Selangor akhirnya kembali ke pangkuan pemiliknya.
Menerusi perkongsian video di Facebook oleh Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, kelihatan kucing berkenaan sudah diberikan kepada pemiliknya.
“Oyen dah diambil untuk pulang ke pangkal jalan,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam satu hantaran lain, mereka turut berseloroh memaklumkan tidak sempat untuk memandikan kucing tersebut kerana pemiliknya datang mengambil lebih awal.
“Tidak sempat nak mandikan oyen, tuan dia datang ambil sebentar tadi,” tulisnya.
Sebelum ini, kucing berkenaan dipercayai menaiki sebuah lori tanpa disedari pemandunya sebelum turun di kawasan Sekinchan, Selangor, sekali gus menyebabkan haiwan itu sesat jauh dari rumahnya.
Gelagat comel haiwan itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya meluahkan rasa lega dan terhibur melihat situasi tersebut.
“Oyen dah suka sangat duduk balai tu. Dia ingat nak jadi anak angkat dekat situ saja,” komen Naha Abas.
“Mesti ‘bibik’ dah tidak tahan rindu dan risau dekat majikan (kucing) ru kan. Selamat pulang ke pangkuan bibik yen,” kata Aie Viz.
“Aduh, tarikan terbaru Sekinchan dah balik ke pangkuan asal,” komen Aamet ler. – KOSMO! ONLINE














