PETALING JAYA – Tekanan kerja secara melampau dapat menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan sehingga mampu membawa kepada kematian.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi berkata, pemergian sahabatnya secara mengejut akibat tekanan kerja amat memberi kesan kerana Allahyarham seorang yang aktif dan gemar bersukan.
“Setiap pagi tengok media sosial dia, lepas kerja main badminton, malam main bola. Dia seorang yang sangat aktif,” katanya.
Menurut Shahrol, berdasarkan cerita isteri sahabatnya, kejadian berlaku apabila Allahyarham pulang dari tempat kerja namun tidak masuk ke rumah walaupun isterinya menunggu di ruang tamu.
“Isteri dia tunggu, tak masuk-masuk. Bila keluar tengok, enjin kereta masih hidup. Ketuk cermin tak menyahut, buka pintu dan goyang, pegang hidung dah tak bernafas,” katanya.
Dalam keadaan kelam-kabut, isteri arwah segera menghubungi ambulans, namun pihak perubatan mengesahkan sahabatnya telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Punca kematian adalah pembuluh darah di kepala pecah dan beberapa minggu sebelum itu arwah sangat tertekan dengan kerja,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan melihat tekanan dari sudut humor dapat membantu menurunkan tahap stres tanpa mengabaikan tanggungjawab kerja.
“Kau jangan tak buat kerja pula. Buat kerja juga, cuma bila kau fikir dengan cara komedi, stres tu akan turun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.














