Tarikh trip jatuh pada 1 Rejab, jadi saya tertanya-tanya juga faktor pilih hari yang arusnya laju macam ‘peluru’. Lagi pula, kawasan ini sememangnya lokasi paling sempit di Selat Melaka, maka arusnya faham-faham sahajalah ketika air besar.
Sahabat saya yang menganjurkan trip, Mian memaklumkan bahawa tekong Ustaz Nizam memang sengaja pilih tarikh air besar kerana ada spesies ikan menjadi target utamanya.
Jadi untuk menangani suasana air laju, kami terpaksa bersedia dengan set pancing yang sedikit ‘berat’.
Pada pagi itu, kami berkumpul di Medan Ikan Bakar di Umbai, Melaka bersebelahan dengan jeti bot.
Mudahnya di sini, kawasan parkir kereta berbayar yang luas, surau, tandas dan dapat makan ikan bakar sebaik sahaja habis trip sebelum bergerak pulang ke rumah.
Kami bergerak agak lewat pada pagi itu.
Menurut Mian, itu adalah kebiasaan buat tekong kerana dia tahu masa ikan aktif di lubuk-lubuk pilihannya.
Jika perlu awal, dia akan menggesa pelanggannya sampai awal ke jeti dan begitu juga sebaliknya.
Ketika bot bergerak meninggalkan jeti, kami ada beberapa jam lagi sebelum arus surut.
Destinasi trip kali ini adalah puncak-puncak bukit bawah air berhampiran Pulau Undan.

Selepas satu jam perjalanan dan melepasi Pulau Besar serta beberapa pulau kecil lain, kami akhirnya sampai ke lokasi.
Oleh kerana pulau-pulau di Melaka ini telah diwartakan sebagai Taman Laut, maka bot tidak dibenarkan memancing terlalu rapat ke pulau.
Jadi tekong sememangnya memilih lubuk-lubuk yang legal dipancing jauh dari perimeter taman.
Set pancing
Set jigging slow pitch yang bersesuaian untuk memainkan jig saiz antara 150 hingga 200 gram (g) dipilih. Pancingan dasar pula kami harus menyediakan set pancing yang boleh menampung berat batu ladung antara saiz 14 hingga 20.
Menariknya, slow pitch jigging yang menjadi pilihan adalah dengan profil jig lebar warna hijau, perak dan ada campuran oren serta emas metalik berkilau.
Menurut ustaz, ikan-ikan dasar di perairan ini lebih menyukai jig bersaiz besar berbanding jig saiz kecil. Untuk meningkatkan peratus cangkupan mulut ikan ke mata assist hook, disarankan penggunaan dua mata kail assist saiz besar di atas dan bawah jig.
Pancing dasar pula, ustaz sudah menyediakan umpan sotong kurita hidup yang sudah dimasukkan harganya bersama kadar sewa bot.
Perambut fluorocarbon berkekuatan 80 paun (lb) panjang dalam anggaran sedepa setengah dengan dua bilah mata kail jenama Owner saiz 5/0 diikat secara rapat di hujung perambut.
Sotong kurita dimatikan terlebih dulu untuk mengelakkan ia mencapai karang ketika di dasar.
Kemudian, ia akan dicangkuk di hujung kepala di mata kail pertama dan hujung badannya di mata kail kedua dengan membiarkan jejari terampai dibuai arus.
Perlu juga menggunakan ranggung atau ‘tanduk’ (spreader) jenis hidup dengan clip untuk batu ladung di tengah-tengah supaya mudah untuk menukar saiz batu ladung.
Gubal
Sebaik sampai ke lokasi, ustaz mengarahkan kami untuk menurunkan jig terlebih dahulu kerana arus pada masa itu masih di puncak pasang dan kami ada masa lebih kurang satu hingga dua jam sebelum arus bertolak surut.
Kedalaman dasar lebih kurang antara 60 hingga 80 kaki (18 hingga 24 meter), ia merupakan kawasan berbukit. Ikan banyak berlegar di sekeliling bukit untuk menyergap ikan-ikan kecil di sekitarnya. Bukit-bukit ini pula
kedudukannya rapat antara satu sama lain.
Sememangnya, kami betul-betul di atas lubuk ikan, jig yang dimainkan Rizal beberapa kali terus disergap ikan.

Tentangannya betul-betul kuat dan apabila rapat ke bot, rupanya seekor ikan gubalan atau orang Melaka panggil secara ringkas ‘gubal’ iaitu ikan senangin saiz besar.
Malangnya, ikan terlucut ketika ia membenam semula walaupun drag sudah dilonggarkan.
Tampak kecewa di wajahnya, tetapi dia kena seekor ikan talang sejurus selepas itu.
Saya sangka sudah habis peluang untuk kena ikan gubal lagi kerana spesies ikan ini cepat culas jika terlepas. Namun sangkaan saya ternyata meleset apabila Syarul pula bergasak di hadapan bot dengan seekor lagi gubal bersaiz kasar.
Kali ini ikan memang tidak terlepas kerana dua assist hook tercangkuk kemas di belakang badannya, walaupun dua lagi assist hook sudah terlucut dari mulut.
Ajib yang memainkan jig secara perlahan turut kena seekor gubal hampir sama saiz dengan yang Syarul dapat. Malangnya, assist hook putus sebaik tekong mahu mencangkuk. Perlawanan yang panjang membuatkan tali kevlar getas bergeser dengan mulut ikan gubal yang kasar bak kertas pasir itu.
Arus surut pancing dasar
Sesi jigging tidak berlangsung lama kerana arus surut yang laju sudah mula menujah, ustaz terus melabuhkan sauh berhampiran salah satu puncak bukit.
Apa yang kami perlu lakukan adalah mengikut arahannya untuk menaikkan ladung sedikit setiap kali bot beralih ke kawasan mendaki supaya tidak tersangkut karang di dasar. Menurut ustaz, banyak spesies ikan hentam umpan sotong kurita termasuk ikan merah, jenahak, gubal dan talang.
Tidak lama kemudian, umpan Mian diambil ikan dan ia memecut ke permukaan air, sudah dijangka gerak seperti itu pastinya ikan talang. Ini diikuti oleh saya dengan seekor lagi ikan talang dan beberapa ekor lagi jenahak saiz kecil oleh rakan-rakan lain di hadapan bot.
Kami bertukar ke beberapa lokasi dan semuanya dekat-dekat sahaja. Kemuncak hasil adalah seekor jenahak saiz bantal yang dinaikkan Mian. Ikan-ikan lain yang diperolehi adalah beberapa ekor ikan talang, jenahak saiz remaja dan kerapu kecil.
Hampir pukul 4 petang, barulah arus laju itu beransur lemah kerana bertukar pasang. Kami hentikan seketika pancing dasar dan cuba jigging semula tetapi kumpulan gubal pagi tadi sudah hilang, jenahak juga tidak sudi dengan unjunan jig kami.
Sebelum menutup trip, ustaz sekali lagi menjangkar bot, kali ini arus betul-betul perlahan dan kami dapat menggunakan batu ladung saiz kecil. Fandy kena seekor jenahak bantal dan Ajib seekor lagi jenahak remaja.
Hari sudah senja, ustaz terus menamatkan trip. Walaupun hasil tangkapan sederhana tetapi saiz ikan yang kami terlepas itu kasar-kasar belaka. Pada saya, perairan di Melaka sewajarnya dinaikkan semula kerana potensinya yang masih besar.














