CARACAS – Tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump yang menahan dan merampas beberapa kapal tangki minyak Venezuela dipercayai didorong oleh matlamat Amerika Syarikat (AS) untuk menguasai sumber minyak negara itu.
Persoalan kini muncul mengenai sama ada AS benar-benar mahu memerangi kegiatan penyeludupan dadah di Laut Carribbean seperti yang didakwa dan menukar rejim pemerintahan Venezuela ketika negara itu memiliki rizab komoditi yang terbukti terbesar di dunia.
“Saya tidak tahu sama ada matlamatnya hanya tertumpu kepada minyak Venezuela,” kata Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva yang menawarkan diri sebagai pengantara dalam pertikaian yang semakin memuncak itu, minggu lalu.
Trump sebelum ini menuduh Venezuela mengambil semua minyak milik Amerika dan berkata: “Kami mahukannya kembali.”
Syarikat-syarikat dari AS yang kini merupakan pengeluar minyak terbesar dunia telah mengeluarkan sumber tenaga itu secara mentah dari ‘perut bumi’ Venezuela sejak penemuan awal di negara berkenaan pada 1920-an.
Sehingga 2005, Venezuela merupakan antara pembekal utama minyak kepada AS dengan jumlah bulanan tertentu mencecah sehingga 60 juta tong.
Namun, keadaan itu berubah secara mendadak selepas pemimpin sosialis negara tersebut, mendiang Hugo Chavez mengambil langkah pada 2007 untuk memperluaskan nasionalisasi industri, termasuk merampas aset milik syarikat AS.
Menurut sumber sektor minyak Venezuela, Chevron ialah satu-satunya syarikat yang dibenarkan menghantar minyak negara itu ke AS, dianggarkan sekitar 200,000 tong sehari.
Menurut penganalisis di firma perunding Schork Group, Stephen Schork, jumlah pengeluaran minyak Venezuela adalah sekitar 800,000 hingga 900,000 tong sehari berbanding lebih tiga juta pada kemuncaknya.
Dengan lesennya, Chevron menjana sekitar 10 peratus daripada pengeluaran Venezuela, walaupun terdapat sumber berbeza mengenai angka yang tepat.
“Ia pada masa ini mewakili sekitar 150,000 hingga 200,000 tong sehari, 100 peratus daripadanya dieksport ke AS,” kata Schork.
Menurut pakar ekonomi petroleum Venezuela, Profesor Carlos Mendoza Potella, tindakan Washington kebelakangan ini berkemungkinan bukan sekadar soal minyak, sebaliknya berkaitan usaha AS untuk menuntut benua Amerika sebagai wilayahnya.
“Ia berkaitan pembahagian dunia antara Amerika dan pesaingnya, Russia dan China,” kata Potella.
Pada 16 Disember lalu, Trump mengumumkan sekatan laut terhadap kapal minyak yang telah pun disekat dan belayar keluar masuk dari Venezuela.
Beberapa hari sebelumnya, tentera AS merampas M/T Skipper, sebuah kapal tangki ‘hantu’ yang mengangkut lebih satu juta tong minyak Venezuela,yang dilaporkan dalam pelayaran ke Cuba.
Washington menyatakan ia bercadang untuk menyimpan minyak tersebut yang dianggarkan bernilai antara AS$50 juta (RM203 juta )hingga AS$100 juta (RM405 juta).
Pada hujung minggu lalu, Pengawal Pantai AS merampas kapal Centuries yang dikenal pasti oleh laman pemantauan TankerTrackers sebagai kapal milik China dan berdaftar di Panama.
Ahad lalu, pegawai AS berkata, Pengawal Pantai mengejar kapal ketiga yang dikenal pasti oleh media sebagai Bella 1. Ia dikenakan sekatan oleh Washington kerana didakwa mempunyai hubungan dengan Iran.
Sementara itu, Duta Venezuela, Samuel Moncada pada sesi di hadapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin berkata: “Kami berada di hadapan kuasa yang bertindak di luar undang-undang antarabangsa, menuntut agar rakyat Venezuela meninggalkan negara ini dan menyerahkannya.
“Ini adalah pemerasan terbesar yang diketahui dalam sejarah kami,” tambahnya. – AFP














