GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) melangkah ke fasa baharu transformasi digital menerusi Pelan Strategik Pendigitalan 2026 – 2030 yang akan menjadi panduan utama pengurusan dan pelaksanaan teknologi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, pelan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah itu merupakan satu pelan strategik digital menyeluruh bagi memacu perubahan struktur dan operasi suruhanjaya secara sistematik dan bersepadu.
”Pelan berkenaan diibaratkan sebagai pelan reka bentuk sebuah bangunan moden yang jelas menggariskan hala tuju, matlamat serta kaedah pelaksanaan transformasi digital.
”Pelan ini memastikan semua projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) digerakkan secara tersusun dan bersepadu, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh tadbir urus SPPP,” katanya di sini, hari ini.
Soon Hin berkata, Pelan Strategik Pendigitalan 2026 – 2030 merupakan kesinambungan kepada Pelan Strategik SPPP 2021- 2025 yang telah berjaya meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan dan daya saing pelabuhan.
Beliau berkata, kejayaan fasa terdahulu termasuk pelaksanaan langkah awal pendigitalan telah menyediakan asas kukuh untuk SPPP melonjak ke tahap transformasi yang lebih tinggi.
”Dengan pelan baharu ini, semua pegawai perlu bersedia menghadapi cabaran perubahan yang lebih mencabar selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital MyDIGITAL serta agenda pendigitalan negeri Pulau Pinang,” katanya.
Tambahnya, penggunaan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi teknologi teras dalam menjayakan pelaksanaan pelan tersebut.
”AI mampu meningkatkan tahap automasi operasi, memperkukuh analisis data dan mempercepat proses membuat keputusan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














