“MINAT saya terhadap bola keranjang bermula ketika saya berusia 13 tahun iaitu ketika baru sahaja memasuki sekolah menengah.
“Perkara ini berlaku secara semula jadi kerana sekolah saya terkenal dengan sukan bola keranjang. Kini di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu, saya terus bermain sukan ini bahkan merupakan Pengerusi Kelab Bola Keranjang UniSZA,” kata Joshua Joseph yang merupakan salah seorang mahasiswa bukan Islam yang menyerlah dan aktif di universiti yang sering dilabel ‘universiti Islamik’ itu.
Bagi anak kelahiran Kudat, Sabah dan beragama Kristian itu, dia mengakui seronok menjalani kehidupan kampus di UniSZA.
Bahkan, selain bergiat dalam bola keranjang, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Dengan Komunikasi (Kepujian) itu juga merupakan Pegawai Integriti Muda yang mengikuti Kursus Kor Kadet Mahasiswa Sukarelawan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Kor Suar).
UniSZA sebelum ini dilaporkan menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menawarkan Kor Suar.
Joshua, 22, telah mewakili kampusnya dalam beberapa kejohanan bola keranjang dengan keputusan yang membanggakan.
“Saya dan pasukan berjaya menganjurkan dua kejohanan besar di Kuala Terengganu pada dua tahun berturut-turut iaitu tahun 2024 dan 2025.
“Kejohanan ini telah membawa dan membanggakan nama UniSZA kerana ia mendapat sambutan yang sangat baik di seluruh Terengganu sekali gus mengukuhkan nama universiti dalam komuniti bola keranjang meskipun kampus ini tidak begitu terkenal dalam sukan tersebut,” katanya yang merupakan pelajar tahun akhir di UniSZA.
Tambah anak bongsu daripada dua beradik ini, penglibatannya bukan sekadar suka-suka dan mahu melihat sukan ini berkembang lebih besar.
“Saya mahu terlibat dalam perkembangan sukan ini bukan sahaja di UniSZA, tetapi juga di skala yang lebih besar iaitu di seluruh Terengganu.
“Menerusi sukan ini juga, saya banyak belajar bagaimana meningkatkan kemahiran kepimpinan, bekerja dalam kumpulan besar, mengurus masa dengan lebih baik serta mengurus sesuatu acara atau kejohanan,” katanya lagi.

BERKONGSI mengenai kejayaannya meraih gelaran Pegawai Integriti Muda, Joshua memberitahu tanggal 10 Oktober tahun lalu menjadi antara momen terindah dalam lipatan sejarah hidupnya.
“Saya dan rakan-rakan lain ditauliahkan pihak Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Lebih membanggakan, mantan pengarah SPRM sendiri iaitu Tan Sri Azam Baki yang menyampaikan pengiktirafan tersebut.
“Kor Suar ini menarik minat saya kerana kokurikulum yang sangatlah baharu dan membuatkan saya rasa curiga tentang apa yang ditawarkan. Kriteria untuk mendapat gelaran Pegawai Integriti Muda adalah dengan wajib menghabiskan kursus Kor Suar terbabit selama dua tahun ataupun empat semester.
“Kami juga perlu lulus dalam beberapa ujian yang disediakan oleh UniSZA dan pihak SPRM sendiri,” katanya.
Ditanya perasaan setelah diberi pengiktirafan tersebut ketika usia muda, Joshua mengakui begitu bangga dan lega dapat menamatkannya dengan baik.
Joshua berkata, penglibatannya dalam Kor Suar membantu membentuk jati diri dan integriti sebagai pelajar.
“Saya sendiri bagai tidak sangka boleh dianugerahkan gelaran Pegawai Integriti Muda dan mampu membanggakan diri sendiri, keluarga dan universiti,” katanya lagi.
Pada masa sama, Joshua juga begitu meminati bidang pemasaran dan media serta berhasrat bekerja dalam bidang itu.
“Saya juga ada terfikir untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tetapi buat masa ini perkara tersebut bukan keutamaan saya,” katanya.
Mengimbas saat dirinya mula ditawarkan mengikuti pengajian di UniSZA, Joshua mengakui timbul kekhuatiran.
“Pada awalnya saya juga berasa agak risau untuk sambung belajar di UniSZA tetapi setelah hampir 4 tahun berada di sini, apa yang saya boleh katakan adalah saya berasa sangat seronok belajar di UniSZA.
“Betul UniSZA ini ialah satu universiti yang boleh dikatakan ‘Islamik’ tapi ia bukanlah satu institusi yang ‘eksklusif’ untuk yang beragama Islam sahaja,” katanya.
Bagi Joshua, sesiapa bukan Islam yang mahu melanjutkan pelajaran di UniSZA yang tidak perlu takut-takut.
“Ini kerana, tiada istilah diskriminasi atau ataupun ‘bias’ di UniSZA ini. Semua orang sangat bertoleransi terhadap sesama sendiri termasuklah tenaga pengajar, staf-staf UniSZA dan juga pelajarnya sendiri.
“Namun , kita juga kena ingat, mengikut kefahaman saya, UniSZA masih tertakluk kepada ‘syariah compliance’. Oleh itu, kita sebagai bukan Islam harus faham dan hormat kepada syarat yang telah ditetapkan oleh UniSZA.
“Sekiranya kita boleh memahami dan mengikut apa yang telah ditetapkan, saya boleh jamin, hidup anda di UniSZA ini tidak ada bezanya jika anda belajar di universiti yang tidak dikenali sebagai ‘universiti Islamik’,” ungkapnya.
Menurut Joshua, di UniSZA, perpaduan antara masyarakat Malaysia itu boleh dilihat.
“Di UniSZA, berdasarkan apa yang saya nampak, perpaduan antara kaum dan etnik itu terjalin melalui aktiviti pelajar, kelab universiti, kerjasama dalam kelas, sukan dan juga acara budaya.
“Saya menganggap diri saya sebagai minoriti di UniSZA dan saya hanya menjadi diri sendiri serta menghormati budaya sekeliling,” katanya.
Berbaki tiga hari sebelum seluruh masyarakat Kristian menyambut perayaan Krismas, Joshua bagaimanapun hanya beraya di kampus.
Jelasnya, pada tahun ini dan sama seperti sebelumnya, dia tidak balik ke Sabah pada sambutan Krismas kerana cuti yang tidak mencukupi dan atas faktor kewangan.
“Pengalaman saya beraya di kampus setakat ini semuanya positif dan baik-baik sahaja.
“Walaupun tiada sambutan yang rasmi, rakan-rakan saya akan cuba untuk ambil masa dan ajak saya keluar untuk menyambutnya secara sederhana dan ringkas.
“Sama ada dengan cara pergi makan di restoran makanan segera atau seperti tahun lalu kami lakukan aktiviti barbeku di pantai.
“Ini membuatkan saya rasa dihargai,” katanya.
Sememangnya Krismas sering dikaitkan dengan hadiah. Ditanya tentang hadiah Krismas paling bermakna tahun ini bagi dirinya, ini jawapan Joshua:
“Bagi saya, mungkin tiada hadiah fizikal yang saya boleh anggap amat bermakna. Namun begitu, saya rasa hadiah yang paling bermakna pada tahun ini ialah masa yang saya luangkan di UniSZA ini sendiri bersama rakan-rakan saya.
“Pengalaman ini yang saya boleh katakan satu hadiah bagi saya kerana ia telah membentuk keperibadian diri ini dan akan membantu saya untuk lebih berkembang sebagai seorang individu,” ungkapnya.














