TIDAK seperti perjalanan darat yang sesak dengan trafik atau penerbangan yang terlalu singkat, menaiki kapal persiaran dari Selangor ke Pulau Pinang memberikan pengalaman yang berbeza.
Dari dek kapal, mata dapat mengembara sejauh horizon, melihat gelombang berkilau di bawah cahaya matahari, pulau-pulau kecil yang menghijau serta kapal-kapal lain di sekeliling. Pemandangan Selat Melaka yang terbentang luas menjadi paling memukau ketika matahari menyinari ufuk pada waktu senja dan pagi.
Selain pemandangan alam, penumpang turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti di atas kapal persiaran seperti menonton pelbagai jenis persembahan, bersukan dan membaca buku.
Itulah tarikan terbaharu Tourism Selangor menerusi Piano Land Cruise yang menjadikan Port Klang Cruise Terminal (PKCT) sebagai homeport pertama di Malaysia. Ini bermakna, kapal itu memulakan dan menamatkan perjalanan pelayarannya di Pelabuhan Klang dan bukan sekadar singgah untuk beberapa jam seperti kapal-kapal lain.
Sejajar dengan fokus tahun 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Selangor, usaha memperhebatkan promosi terminal cruise akan dijalankan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, ini merupakan era baharu pelancongan kapal persiaran di rantau Asia Tenggara, menunjukkan Malaysia berkembang sebagai hab utama dalam industri ini.
“Sebelum ini, di Asia negara yang menerajui homeport adalah Singapura. Kebanyakan kapal persiaran yang tiba di Asia terpaksa bermula di Singapura sebelum ke destinasi lain termasuk Klang, Langkawi atau Pulau Pinang.
“Keadaan ini menyebabkan kita kehilangan potensi ekonomi yang besar. Justeru, usaha kali ini memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada pemain industri tempatan kita,” katanya.
Lebih unik, Piano Land Cruise berbeza dengan kebanyakan kapal antarabangsa lain kerana menumpukan kepada konsep mesra Muslim.
Kapal tersebut menyediakan restoran halal sepenuhnya dan tidak mempunyai kasino, sekali gus menjadikannya satu tarikan pelancongan halal bagi pelancong Muslim. Piano Land Cruise turut mencatat sejarah dalam kerjasama antara China dan Malaysia dengan menjadi kapal persiaran China pertama yang menjadikan negara luar sebagai homeport. Selain itu, Piano Land Cruise mampu membawa antara 2,000 hingga 5,000 pelancong dalam satu perjalanan, bersamaan dengan kapasiti 10 kapal terbang.
Tambah Yee Ling, pelancong memulakan perjalanan di Pelabuhan Klang dan menginap di Selangor sebelum menaiki cruise dan ini memberi impak ekonomi signifikan kepada hotel, makanan serta destinasi pelancongan.
“Pelabuhan Klang sebagai homeport menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan kepada pelancong sebelum atau selepas menaiki cruise termasuk lawatan sejarah melalui Royal Town Heritage Trail, pengalaman menaiki bot ke Pulau Ketam melalui hutan bakau beserta hidangan laut, pakej golf di Amverton Golf, pengalaman budaya di kampung orang Asli Pulau Kempas, serta aktiviti membeli-belah di I-City, Setia City Mall dan Bukit Tinggi.
“Promosi pelancongan turut memberi fokus kepada ekopelancongan, akuapelancongan, pelancongan perubatan, cross tourism serta industri MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran),” katanya.














