SEBERANG PERAI – Barisan Nasional (BN) memberi kata dua kepada pihak MIC sama ada mahu menentukan hala tuju parti itu sendiri ataupun menyerahkan kepada BN dalam membuat keputusan melibatkan masa depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mengambil maklum akan salinan surat yang tersebar berhubung permohonan semula parti itu untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Ertinya, mereka telah menjadi ahli Perikatan Nasional dan kini mereka mahu masuk semula (ke BN). Itu sebabnya saya bercakap tentang soal kesetiaan, sebab kita tahu bahawa MCA dan MIC berada di dalam perikatan ketika kemerdekaan dituntut dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai sejarah tujuh dekad.
“Jadi, kalau kepimpinan sekarang memutuskan sebaliknya, kerana perwakilan telah memberikan kuasa mutlak kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan, maka saya ingin ulangi jika mereka (MIC) tidak dapat membuat keputusan, kami akan buat keputusan. Kita tidak mahu pagi cakap lain, petang cakap lain, esok lain lagi,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-17 Parti Makkal Sakti di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, BN bersedia untuk melakukan penjenamaan semula atau menubuhkan entiti baharu sejajar dengan situasi politik dan perlembagaan semasa.
Katanya, sebarang perubahan hanya boleh dibuat dengan persetujuan sebulat suara semua parti komponen mengikut perlembagaan gabungan yang digubal 51 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














