HULU TERENGGANU – Runtuhan tanah yang menyebabkan Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris berhampiran Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka di sini terputus sejak kelmarin memerlukan RM1.5 juta untuk diperbaiki.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu telah memohon peruntukan kecemasan bagi kerja-kerja pembaikan berkenaan.
“Peruntukan kecemasan tersebut telah dipohon kepada kerajaan Persekutuan agar laluan terbabit dapat segera dipulihkan.
“Kerja-kerja pembaikan itu termasuk pemasangan cerucuk dan pembinaan lencongan sementara,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris mengalami runtuhan selebar 15 meter dan sepanjang 40 meter pada pukul 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati runtuhan bahagian tepi dan bawah cerun laluan berkenaan disebabkan oleh arus deras air bawah tanah.
Hanafiah berkata, pembinaan lencongan sementara berkenaan perlu disegerakan bagi mengelak akses ke Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka terus terputus dalam jangka masa lama.
Beliau berkata, runtuhan tanah terbabit telah mengganggu proses penghantaran bekalan bahan api untuk menjana janakuasa elektrik di pusat santuari gajah itu. – KOSMO! ONLINE














