fbpx
Naz bersama jelawat pipi merah yang tergoda dengan gewang selaman dalam.

Jelawat pipi merah penunggu Danau Sentarum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setiap pemancing pasti ada satu spesies ikan impian yang dibayangi dalam diam. Bagi saya, sepanjang ekspedisi di tasik purba, Danau Sentarum ini, buruan utama adalah The Goblin atau Ocellated snakehead yang menjadi legenda di kawasan ini (rujuk sisipan Gewang bertarikh 27 November 2025).

Namun seperti adat alam yang sering mempunyai cara tersendiri untuk menguji manusia, perjalanan saya menemukan sesuatu tidak pernah saya jangka.

Ketika bot kecil yang saya naiki menyusuri celahan pokok yang tergenang air, suasana pagi berkabus itu tiba-tiba bertukar menjadi detik mendebarkan.

Di sebalik air hitam yang tenang, seekor ikan berkilauan perak dengan pipi merah menyala menyambar gewang dilontarkan dengan rakus.

Pecutannya deras, bertenaga terasa seperti membawa seluruh isi sungai itu bersama.

Ia bukan The Goblin dicari tetapi spesies lain yang tidak kurang hebatnya, si jelawat pipi merah atau ‘Piam’ mengikut panggilan masyarakat tempatan.

Pertembungan pertama itu sudah cukup membuatkan hati saya terus diikat spesies eksotik ini.

Spesies eksklusif

Jelawat pipi merah mendapat namanya berikutan warna pipinya yang merah terang seolah-olah disapu warna delima, kelihatan sangat menyala apabila disimbah cahaya matahari pagi.

Dipadankan dengan sisik perak yang memantulkan kilauan seperti bilah pedang, membuatkan ia kelihatan seperti ikan dari dunia lain.

Walaupun bersaiz kecil, namun jangan memandang rendah tentangan yang diberikan.

Spesies ini sangat bernilai dalam industri akuarium.

Di Indonesia, peminat ikan hiasan memanggilnya sebagai ‘ikan mas darah’ dan sering dijadikan simbol eksotik dalam koleksi premium.

Namun sehingga kini, spesies ini masih belum berjaya dibiakkan secara komersial.

Semua spesimen yang dipa­sarkan datang terus dari po­pulasi liar. Perkara itu membuktikan bahawa ikan ini spesies sensitif yang memerlukan pengurusan lestari.

Strategi memburu

Hanya selepas beberapa hari ‘bermesra’ dengan perairan itu, barulah saya mula memahami tingkah laku sebenar spesies ini.

Ikan istimewa ini lazimnya bergerak dalam satu kumpulan besar.

Ikan saiz kecil sering bermain di tempat cetek berhampiran tebing dan akar pokok, manakala ikan besar lebih gemar berada di kawasan dalam yang tenang.

Masalah terbesar, saiz mulut ikan ini kecil, dan inilah cabaran utama ketika memburunya.

Umpan atau gewang yang terlalu besar akan membuatkan ia culas.

Jelawat pipi merah yang menghentam spoon.

Karauan gewang pula tidak boleh terlalu laju. Spesies ikan ini bukan jenis yang tamak, serangannya lebih bersifat taktikal, penuh kejutan tetapi tidak membazir tenaga.

Apabila ia menyambar umpan, semuanya berlaku sekelip mata dan tali anda akan meluru keluar lebih laju daripada tarikan ikan sebarau.

Setiap pemancing yang pernah merasai tarikannya pasti akan akur bahawa spesies ini mempunyai daya pecutan sukar diramal. Namun, itulah keseronokannya.

Aksi mengejutkan

Salah satu detik paling saya ingati dalam ekspedisi ini adalah ketika menggunakan spoon.

Saat matahari hanya beberapa jari dari ufuk, terasa satu hentakan kasar dari bawah permukaan air.

Sebelum sempat menarik nafas, tali pancing sudah ‘menjerit’ tanpa henti.

Joran pula melentur habis, seakan-akan tidak mampu lagi menampung tekanan. Ikan itu terus meluru jauh seperti sebuah torpedo yang laju.

Walaupun ia berjaya melepaskan diri, namun sensasi itu menyalakan kembali semangat saya untuk terus mencuba.

Hasilnya, saya berjaya mendaratkan dua ekor jelawat pipi merah masing-masing seberat 1.5 dan 1.6 kilogram (kg).

Lubuk tenang ini menjadi tempat persembunyian ikan jelawat pipi merah bersaiz besar.

Rakan saya, Naz Sadiman turut mencatat rekod manis dengan seekor gergasi seberat 2.5kg menggunakan gewang deep diver.

Detik itu membuatkan kami sepakat bahawa ikan ini adalah game fish sebenar Danau Sentarum.

Spesies ikan ini bukan sahaja kuat, malah bijak dan mempunyai gaya renangan padu, satu kombinasi yang jarang ditemui.

Simbol Sentarum

Bagi penduduk setempat, ikan jelawat pipi merah bukan sekadar ikan buruan atau sumber pendapatan, namun ia merupakan simbol kebanggaan Danau Sentarum.

Satu ikon yang menggambarkan keindahan dan kekuatan ekosistem yang wujud sejak ribuan tahun lalu.

Benaman padu, warna menawan, dan keunikannya menjadikan ikan ini sebagai lambang roh sungai itu sendiri.

Setiap kali pemancing berjaya mendaratkannya, ia bukan saja trofi individu tetapi menjadi bukti alam masih terus hidup dan dijaga rapi tanpa campur tangan kerakusan manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN