BUKIT KAYU HITAM – Penduduk dan peniaga di Hatyai, Thailand gelisah apabila terdapat beberapa amaran hujan lebat dan banjir di kawasan rendah serta berhampiran terusan, hari ini.
Menurut Ahmad Qusyairi Ahmad Zaini, 38, isterinya, Catreeya, 35, yang merupakan warga Thailand dan berada di Hatyai menyatakan kebimbangan apabila kawasan itu kembali dilanda hujan.
“Saya sekarang berada di Kuala Lumpur dan isteri memaklumkan menerima mesej amaran mengenai hujan lebat di Hatyai, Mueang Songkhla dan Na Mom.
“Amaran yang dikeluarkan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) Thailand itu juga meminta semua penduduk di kawasan terlibat agar berwaspada dengan risiko banjir kilat, terutama di lokasi berhampiran terusan, sungai, kawasan rendah dan cerun bukit,” katanya di sini hari ini.
Katanya, amaran sama juga meminta penduduk memindahkan barang ke tempat tinggi serta menyimpan barangan berharga dan dokumen penting dengan selamat.
Namun begitu, dia dimaklumkan bahawa hujan yang melanda Hatyai setakat ini tidak selebat ketika banjir besar baru-baru ini.
“Semasa banjir baru-baru ini, kedai makan dan rumah saya di Hatyai terjejas teruk dan banyak yang perlu dibaiki,” ujarnya.
Seorang lagi rakyat Malaysia di Hatyai, Shaiful Anuar Che Pe memberitahu, terdapat juga amaran yang dikeluarkan pada pukul 2.23 petang tadi tentang terusan Khlong Waad yang mula melimpah dan berpotensi menjejaskan kawasan di sepanjang terusan serta kawasan rendah di situ.
“Sudah dua hari hujan dan ada amaran banjir dikeluarkan hari ini, risau juga,” ujarnya.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla pada 12 Disember lalu memaklumkan menerusi kenyataan akhbar bahawa berdasarkan laporan kaji cuaca terkini, Selatan Thailand akan sekali lagi dilanda hujan lebat berterusan bagi tempoh 12 hingga 20 Disember yang berpotensi menyebabkan banjir kilat.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berada di Selatan Thailand pada tempoh berkenaan dinasihatkan supaya peka dengan keadaan cuaca, mengikuti pengumuman, berita dan nasihat daripada pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa, serta menjaga keselamatan diri masing-masing. – KOSMO! ONLINE














