CYBERJAYA- Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan RM36.5 juta zakat kepada 39,240 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin serta mualaf bagi membantu keperluan persekolahan anak-anak sesi 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, agihan tersebut melibatkan seramai 85,336 murid dan pelajar asnaf dari pelbagai peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Selangor.
Katanya, bantuan Keperluan Persekolahan (KPS) itu bagi memastikan anak-anak asnaf dapat memulakan sesi persekolahan tanpa masalah kewangan, sekali gus mengelakkan keciciran pendidikan.
“Setiap ketua keluarga asnaf ini secara purata mempunyai dua hingga tiga orang tanggungan. Cabaran ekonomi akan lebih dirasai apabila melibatkan kos pendidikan anak-anak, khususnya pada awal tahun persekolahan.
“Jika pendidikan tidak dibantu, risiko keciciran akan berlaku dan kita tidak mahu kemiskinan ini diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Simbolik Agihan Bantuan Pendidikan di sini, hari ini.
Tambahnya, anak-anak tersebut bakal menerima bantuan yuran persekolahan serta kelengkapan asas seperti pakaian seragam, beg, kasut dan alat tulis.
Mohd. Khaidzir berkata, LZS memperuntukkan kadar bantuan minimum yuran persekolahan antara RM100 hingga RM250 seorang, dengan jumlah maksimum sehingga RM1,200 bagi setiap keluarga.
Selain itu, bantuan kelengkapan persekolahan melibatkan kadar RM170 bagi pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan, RM150 bagi Sekolah Rendah Agama dan RM200 bagi pelajar sekolah menengah.-KOSMO! ONLINE














